
KANGAR: Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis menyifatkan beban ekonomi yang semakin mencengkam rakyat, terutama golongan wanita dan isi rumah berpendapatan rendah, akan semakin parah dengan ketidaktentuan ekonomi global kini.
Ketuanya Muslimat PAS Perlis, Norshahirah Mat Salleh berkata, pelbagai faktor seperti perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China telah membawa kesan langsung kepada kenaikan harga barangan asas, gangguan kepada rantaian bekalan dan menyumbang kepada krisis ekonomi domestik yang semakin mencabar.
“Wanita adalah antara golongan paling terkesan dalam menghadapi krisis ekonomi. Mereka bukan sahaja berperanan sebagai pengurus rumah tangga, bahkan turut menyumbang sebagai tulang belakang dalam sektor tidak formal.
“Ketika harga barang melambung dan pendapatan tidak seimbang, merekalah yang pertama sekali harus bergelut menyesuaikan perbelanjaan harian,” ujarnya kepada Harakahdaily di sini, semalam.
Tambah Nor Shahirah, dalam menghadapi realiti ekonomi yang suram ini, pihaknya tidak berpeluk tubuh, sebaliknya akan menggandakan usaha dalam beberapa bidang utama bagi memperkukuh daya tahan ekonomi wanita di negeri ini.
“Antara tindakan strategik yang digariskan termasuklah memperluas program advokasi celik ekonomi keluarga, pengurusan kos sara hidup serta keusahawanan wanita bagi membina kesedaran dan kemampuan dalam mengurus tekanan kewangan.
“Kita juga akan meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan negeri untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan latihan kemahiran kepada golongan wanita berpendapatan rendah. Kita mahu wanita bukan hanya bertahan, tetapi mampu bangkit dan berdikari dalam menghadapi krisis ekonomi,” katanya.
Lebih daripada itu ujarnya, jaringan solidariti wanita di peringkat komuniti melalui pelbagai inisiatif akar umbi, termasuk menubuhkan kumpulan sokongan ekonomi setempat, mewujudkan aktiviti koperasi kecil dan memperkasakan budaya bantu-membantu antara jiran.
“Setiap krisis membuka ruang untuk perubahan. Kita tidak mahu wanita Perlis khasnya terus terpinggir atau menjadi mangsa keadaan, mereka mesti digerakkan menjadi sebahagian daripada penyelesaian.
“Inilah tuntutan Islam keprihatinan, kebersamaan dan tanggungjawab sosial,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/5/2025











