‘Thiqah’ asas kekuatan gerakan Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kepercayaan terhadap pimpinan atau thiqah adalah tunjang kepada kekuatan dalam perjuangan dan bukan sekadar ungkapan manis dalam ceramah atau tulisan, kata Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah.

Beliau berkata, tanpa thiqah, sesuatu gerakan tidak akan dapat bergerak secara teratur, tidak akan melahirkan keputusan yang dipatuhi dan akhirnya perjuangan akan menjadi longgar, rapuh serta mudah terpecah.

“Satu peringatan yang pernah diungkap oleh Almarhum Dato’ Omar Mohammad, seorang tokoh yang saya hormati. Katanya, kita ini dalam perjuangan ibarat jong kako, iaitu orang yang ditugaskan untuk membantu dalam majlis kenduri-kendara.

- Advertisement -

“Ada yang berada di dapur, ada yang mengangkat hidangan dan ada yang basuh pinggan. Maka jangan kita berebut tempat dan hidangan dengan tetamu,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan itu berkata, kepercayaan itu bukan bersifat buta, sebaliknya lahir daripada pengamatan yang jujur terhadap keikhlasan, kebolehan dan komitmen seseorang pemimpin dalam menggalas amanah.

Katanya, apabila keyakinan itu wujud, secara semula jadi akan lahir rasa kasih, hormat, reda menerima teguran dan ketaatan dalam perkara yang tidak menyalahi syariat.

“Inilah roh yang menjadikan sesebuah organisasi itu hidup dan kuat. Imam Hasan al-Banna pernah menjelaskan bahawa antara sepuluh rukun bai’ah yang menjadi asas kekuatan sesebuah gerakan Islam ialah al-thiqah bil qiyadah.

“Bagi beliau, thiqah bukan sahaja menjaga kesatuan jamaah, bahkan menjadi sebab utama kepada keberkesanan strategi dan pencapaian matlamat dakwah,” jelasnya.

Tambah beliau, thiqah bermula dengan husnuzon iaitu berbaik sangka dan ia perlu dipelihara oleh kedua-dua pihak.

Katanya, ahli mempunyai tanggungjawab untuk tidak terlalu mudah berburuk sangka dan tidak cepat melenting dengan setiap keputusan yang dibuat, manakala pimpinan pula perlu membina peribadi yang boleh dipercayai, disegani dan ditauladani.

“Kepercayaan bukan boleh dibuat-buat. Ia juga tidak boleh dipaksa. Ia hadir apabila seseorang itu jujur dalam kata-katanya, istiqamah dalam tindakannya, dan telus dalam amalannya.

“Rasulullah SAW sejak usia muda dikenali sebagai al-Amin, seorang yang tidak pernah berdusta dan sentiasa menunaikan amanah. Masyarakat Quraisy sendiri meletakkan kepercayaan penuh kepada baginda sebelum wahyu pertama diturunkan.

“Maka apabila baginda berdiri membawa risalah Islam, orang ramai tidak terkejut dengan dakwahnya, kerana mereka sudah mengenali siapa beliau sebelum itu,” katanya.

Mohd Amar berkata, dalam membawa gerakan Islam, para pemimpin juga perlu menunjukkan keikhlasan yang sama serta tidak berpura-pura di hadapan ahli.

Katanya, jika kata-kata tidak seiring dengan perbuatan, maka thiqah akan retak dan jika dibiarkan ia akan merebak serta menjadikan kepimpinan tidak lagi dihormati.

“Saidina Umar al-Khattab ketika menjadi khalifah pernah menyatakan dengan tegas bahawa jika ahli keluarganya melanggar perintah yang sama dilarang kepada rakyat, maka beliau sendiri akan menggandakan hukuman terhadap mereka.

“Ketegasan ini menunjukkan bahawa pemimpin perlu memulakan perubahan dari rumahnya sendiri sebelum menasihati masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, thiqah adalah ruh yang menghidupkan jamaah, menjadi benteng dari perpecahan dan mengukuhkan jalan dakwah yang sedang dilalui.

“Jika thiqah itu ada, maka sekuat mana pun cabaran, kita akan tetap bergerak. Tapi jika thiqah itu hilang, maka walaupun strategi hebat, struktur kukuh, dan dana mencukupi, perjuangan tetap akan lumpuh,” katanya.

Mohd Amar berkata, berada dalam saf perjuangan ibarat menaiki kenderaan dengan seorang pemandu yang diyakini pengalamannya.

“Kita duduk tenang. Kita tidak rebut stereng. Kita tidak mengganggu perjalanan. Kita yakin bahawa destinasi akan dituju dengan selamat. Begitulah juga apabila berada dalam saf perjuangan.

“Bila keyakinan kepada pimpinan itu kukuh, jangan gugat perjalanan. Jangan buat sesuatu yang mengganggu kelancaran organisasi. Tugas kita ialah membantu, menyokong dan memastikan semua sampai ke destinasi.

“Semoga Allah kukuhkan kepercayaan kita antara satu sama lain dalam saf ini. Pemimpin membimbing dengan ikhlas. Ahli mendukung dengan jujur. Dan perjuangan ini terus mara menuju reda Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2025

- Advertisement -