Indahnya Kelantan 2025 sedia 41 aktiviti pelancongan

Kamarudin melawat pameran yang diadakan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 41 aktiviti utama ditawarkan sepanjang kempen Indahnya Kelantan 2025 bagi memperkukuh sektor pelancongan negeri serta menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan.

- Advertisement -

Program tersebut disenaraikan dalam Calendar of Event (COE) 2025 merangkumi aktiviti berasaskan kebudayaan, kesenian, warisan, sukan, eko-pelancongan dan pelancongan komuniti.

Langkah ini menjadikan Kelantan semakin menonjol sebagai destinasi pelancongan utama di Pantai Timur.

Kempen ini juga merupakan kesinambungan kepada kejayaan Tahun Melawat Kelantan 2024 yang mencatatkan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa secara memberangsangkan hasil pelbagai program, kempen serta promosi bersama agensi berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pelancaran kempen itu merupakan titik permulaan untuk mengangkat sektor pelancongan ke tahap lebih tinggi.

“Majlis hari ini bukan sekadar pelancaran, tetapi satu titik permulaan mengangkat pelancongan ke tahap lebih tinggi — dengan semangat kerjasama antara negeri dan sektor pelancongan yang semakin progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Matta Fair Kelantan 2025 yang berlangsung di Mydin Mall Tunjong, di sini semalam.

Penganjuran Matta Fair Kelantan 2025 turut memberi impak besar kepada promosi dan pengukuhan ekosistem pelancongan negeri.

Ia menjadi medan strategik buat pemain industri bertemu pengguna secara langsung serta membuka lebih banyak ruang kolaborasi.

Kerajaan negeri juga menyeru para pempamer memberi tumpuan kepada pembangunan dan promosi pakej pelancongan ke Kelantan yang kaya dengan tarikan unik.

Antaranya termasuk pantai indah, seni warisan, makanan tradisional serta destinasi komuniti yang menenangkan.

Kamarudin berkata, program ini bukan sahaja memberi manfaat promosi, malah turut menyumbang kepada limpahan ekonomi rakyat.

Antaranya termasuk pengusaha inap desa (homestay), seni kreatif, kraf tangan dan penjaja makanan tradisional tempatan.

“Saya percaya program ini membuka lebih banyak peluang kerjasama dan memberi manfaat kepada rakyat, agensi pelancongan dan ekonomi negeri.

“Saya menyeru orang ramai agar menyokong produk pelancongan tempatan yang penuh keunikan dan keistimewaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/5/2025

- Advertisement -