Tarik pukat acara baru pelancongan Kelantan

Kamarudin menyempurnakan gimik perasmian
- Advertisement -

KOTA BHARU: Aktiviti memukat di pantai menggunakan pukat tarik bakal diperkenalkan sebagai produk pelancongan terbaharu di Kelantan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, aktiviti itu menghidupkan kembali kaedah tradisional nelayan zaman dahulu.

Katanya, ia memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman menarik pukat secara beramai-ramai.

“Sekarang orang sudah tidak guna pukat tarik, jadi kita mahu hidupkan kembali aktiviti ini sebagai riadah yang mencipta suasana rehat minda serta mengeratkan hubungan antara rakan dan ahli keluarga.

“Aktiviti ini memerlukan kerjasama 20 hingga 30 orang bagi menarik pukat untuk mengepung ikan di pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Matta Fair Kelantan 2025 di Mydin Mall Tunjong, di sini semalam.

Menurutnya, kaedah memukat tersebut boleh meliputi kawasan sehingga satu kilometer dan diyakini mampu menarik minat pelancong kerana mereka boleh turut serta secara langsung.

Katanya, bagi menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan, kerajaan negeri turut melancarkan kempen Indahnya Kelantan 2025.

Kempen tersebut menyenaraikan 41 aktiviti utama dalam kalendar pelancongan tahun ini merangkumi budaya, kesenian, warisan, sukan, ekopelancongan dan pelancongan komuniti.

Tambah beliau, aktiviti meluncur ombak yang diperkenalkan di Pantai Kemasin, Bachok pada musim tengkujuh lepas berjaya menarik lebih 3,000 pengunjung.

Beliau yakin aktiviti lain juga akan menerima sambutan positif daripada pelancong serta penduduk tempatan.

Matta Fair Kelantan yang berlangsung selama tiga hari menyasarkan jualan sebanyak RM5 juta dengan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung. – HARAKAHDAILY 9/5/2025

- Advertisement -