Murid cedera pin tertusuk kaki: Begini respons Menteri?

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Johor Bahru melahirkan rasa kecewa dengan reaksi balas diberikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung insiden seorang murid prasekolah yang tertusuk pin bendera Malaysia di tapak kaki, baru-baru ini.

- Advertisement -

Menerusi satu kenyataan, Fadhlina dilihat seolah-olah memandang ringan isu berkenaan dengan memberi jawapan sambil lewa, “Kita sudah beri percuma (lencana Jalur Gemilang) secara yang berpin, pakai dahulu”.

“Beginikah layaknya respon Menteri? Apakah sekiranya diberi percuma, maka rakyat wajib menerima sahaja? Persoalan keselamatan, kesesuaian atau keperluan yang dibangkitkan rakyat menjadi tidak relevan?

“Begitukah wajah sebenar ‘KPM: Kami Pro Mendengar!’ yang dilaung-laungkan YB Menteri? Cytro Madani pula menangguk di air keruh dengan merendah-rendahkan dan menuduh PAS dan MCA bermain sentimen politik berkenaan perkara ini.

“‘Kami dulu pun guna pin, okei je’, hujah mereka. Sedangkan suara keresahan ini datang dari ibu bapa pelbagai latar,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambahnya, sangat ironi apabila menteri menyuruh pemakaian pin Jalur Gemilang di baju pelajar-pelajar, mereka juga yang salah memaparkan bendera Malaysia di dalam laporan analisis rasmi mereka.

“Lemahnya menteri ini sehingga kini hasil siasatan berkenaan isu ini masih belum kelihatan. Kini, sudah ada perkongsian murid cedera, termasuk baju yang koyak dan kulit yang terluka.

“Jelas sekali, pelaksanaan langkah ini bukan sahaja tergesa-gesa, tetapi tidak mengambil kira realiti dan kesejahteraan murid.

“Jika benar-benar ingin menyemai semangat patriotisme serta membangkitkan rasa hormat dan bangga kepada negara dan simbol kebangsaannya, ada pelbagai pendekatan lain yang lebih selamat, praktikal dan jimat. Bukan hanya satu jalan.

“Namun, beginilah rupa pentadbiran apabila simbol menjadi lebih penting daripada substansi, dan penampilan diutamakan melebihi pemikiran. Letak jawatan sahajalah YB Menteri,” bidasnya.

Terdahulu, tular di media sosial bersama tiga keping gambar yang memaparkan keadaan jarum pin bendera berkenaan yang tertusuk ke dalam isi kaki seorang pelajar prasekolah, menyebabkan dia terpaksa dihantar ke pusat perubatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Fadhlina dalam reaksinya meminta supaya murid dan pelajar sekolah memakai dahulu lencana Jalur Gemilang berpin yang telah diberikan secara percuma sebelum ini.

Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar sekolah mula dilaksanakan sejak 21 April, selepas Kementerian Pendidikan sebelum ini memaklumkan ia akan dilaksana secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya. – HARAKAHDAILY 9/5/2025

- Advertisement -