
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Berhad, Dato’ Ridza Abdoh Salleh memberi amaran bahawa Malaysia kini menunjukkan ciri-ciri sebuah negara oligarki.
Jelas beliau, ia apabila kekayaan dan kuasa politik semakin tertumpu dalam tangan segelintir elit berkepentingan yang bukan sahaja menguasai kekayaan tetapi juga mula mendominasi, dasar dan polisi.
Beliau menyuarakan kebimbangan itu susulan pengumuman projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM8.5 bilion yang dianugerahkan secara rundingan terus kepada Gamuda dan Konsortium SRS, tanpa melalui proses tender terbuka.
Kos RM8.5 bilion akan di tanggung oleh Kerajaan Persekutuan menggunakan wang rakyat sepenuhnya kerana ia bukan projek inisiatif pembiayaan persendirian (PFI).
“Apa yang lebih memeranjatkan ialah pengumuman ini dibuat seolah-olah ia satu perkara biasa dan tidak perlu dipersoalkan atau peduli kepada sebarang teguran.
“Ini sangat membimbangkan kerana ia memperlihatkan seolah negara kita di kawal oleh segelintir individu yang berkempertingan dan keputusan d buat secara tertutup,” kata beliau dalam satu kenyataan menerusi akaun LinkedIn rasmi miliknya.
Menurut beliau, situasi ini menyerupai perkembangan di Amerika Syarikat, di mana golongan jutawan seperti Elon Musk dan Peter Thiel semakin berpengaruh dalam proses dasar awam termasuk dalam sektor teknologi, pertahanan dan hubungan antarabangsa.
“Kita tidak boleh menafikan bahawa dunia sedang menyaksikan kemunculan kelompok elit yang bukan sahaja menguasai kekayaan tetapi juga mula mendominasi, dasar, polisi dan politik negara,” tegasnya.
Tambah beliau, fenomena yang sama sedang berlaku di Malaysia apabila projek-projek mega seperti LRT Pulau Pinang dilaksanakan tanpa proses tender terbuka seperti yang dijanjikan kepada rakyat.
Kerajaan sanggup berdusta dan mengingkari janji kepada berjuta rakyat semata untuk memuaskan kehendak segelintir pemegang saham syarikat serta membelakangi ketelusan dan menyembelih tadbir urus baik dan yang sepatutnya.
Katanya, jika budaya seperti ini diteruskan, sistem demokrasi yang memberi peluang sama rata kepada semua pemain industri akan dipintas oleh kepentingan korporat yang mempunyai hubungan rapat dengan kuasa politik.
“Ini bukan hanya soal tadbir urus sahaja. Ini soal masa depan negara kita. Adakah kita mahu Malaysia menjadi milik segelintir yang kaya dan berkuasa, sementara rakyat biasa terus diketepikan dari menikmati kekayaan negara,” soalnya.
Beliau menyeru rakyat agar membuka mata dan menilai semula tindak tanduk serta hala tuju negara.
“Kita mesti bertanya sama ada kita sedang membina masa depan yang adil dan inklusif, atau sedang menuju sistem tertutup yang hanya menguntungkan golongan di puncak,” katanya.
Dato’ Ridza juga menggesa kerajaan agar mengembalikan kepercayaan awam dengan memastikan semua projek besar melalui proses terbuka yang telus dan kompetitif, serta tidak membenarkan mana-mana pihak memonopoli peluang dalam negara – HARAKAHDAILY 9/5/2025











