
KOTA BHARU: Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) terus komitmen untuk membudayakan kerja berasaskan tiga prinsip utama iaitu ‘ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan (UMI) dalam segenap lapisan organisasi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tiga asas itu bukan sekadar slogan atau hiasan di poster, sebaliknya perlu dihidupkan dalam tindakan harian setiap warga kerja.
“Budaya kerja yang kuat bukan dibentuk dengan arahan semata-mata tetapi dengan kefahaman. Apabila kerja dianggap sebagai ibadah, maka tidak akan ada ruang untuk culas, menangguh atau memberi alasan,” tegasnya
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu berucap demikian ketika merasmikan Bicara Korporat PMBK, di sini semalam.
Program tersebut mengetengahkan tema ‘Transformasi Dalam Organisasi: Cabaran dan Kejayaan’ menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Dato’ Syeikh Zakaria Othman sebagai panel utama.
Syeikh Zakaria berkongsi pengalaman LZNK melakukan transformasi menyeluruh daripada sebuah organisasi biasa kepada entiti korporat berprestasi tinggi yang dihormati di dalam dan luar negara.
Dalam ucapannya, Dato’ Dr Mohamed Fadzli turut menegaskan bahawa perubahan sebenar dalam organisasi tidak akan berlaku sekiranya masih wujud sikap kerja yang lemah.
“Datang awal hanya sekadar isi nama, kerja ditangguh-tangguh, hasil pula sambil lewa, itu bukan perubahan tetapi pengulangan kegagalan.
“Setiap ringgit gaji yang diterima tanpa usaha bersungguh-sungguh adalah satu bentuk pengkhianatan kepada amanah,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut.
“Semoga ia menjadi titik tolak kepada budaya kerja yang lebih bermaruah dan bertanggungjawab,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/5/2025





















