27,978 unit rumah terancang di Perlis setakat Q4 2024

- Advertisement -

KANGAR: Sehingga suku keempat (Q1) tahun 2024, negeri Perlis mencatatkan sejumlah 27,978 unit rumah terancang dan 11,363 unit rumah kos rendah yang telah dan sedang dilaksanakan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, Kerajaan Negeri secara berterusan berusaha membantu rakyat dalam memiliki rumah yang selesa.

“Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk pembinaan 33 Rancangan Perumahan Awam (RPA) yang melibatkan 3,136 unit rumah, tujuh projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) melibatkan 1,366 unit rumah.

‘(Juga) tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 1,428 unit rumah. Bagi projek Taman Hijrah tahun 2025, sebanyak 1,013 permohonan telah diterima menerusi Sistem Maklumat Perumahan Awam (SMPA).

“Daripada jumlah itu, seramai 300 pemohon telah dipanggil untuk sesi temuduga bagi pengisian 60 unit rumah Mampu Milik (RMM) yang ditawarkan pada harga RM140,000 seunit,” katanya.

Sementara itu ujarnya, cadangan projek baharu PPR melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut sedang dirancang.

“Satu projek PPR kini sedang dibangunkan di Padang Besar manakala satu lagi projek PPR di Simpang Empat telah diluluskan, melibatkan penyediaan 175 unit rumah.

“Selain itu, pembinaan rumah mampu milik secara Request For Proposal (RFP) oleh pemaju swasta turut dirancang bagi memperbanyakkan lagi penawaran rumah mampu milik di Perlis, membabitkan 794 unit rumah yang akan dibina di kawasan Titi Tinggi dan Tok Kuning,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 1/5/2025

- Advertisement -