
AYER KEROH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakob, mempersoalkan keberkesanan 90 Inisiatif Rakyat yang diketengahkan kerajaan negeri ketika pembukaan Sidang DUN baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban berkata, tidak terdapat satu pun inisiatif benar-benar menonjol dalam senarai tersebut, termasuk cadangan seperti bacaan al-Fatihah pada permulaan mesyuarat yang disifatkannya bukan perkara baharu.
“Saya menyentuh salah satunya berkaitan bacaan al-Fatihah setiap kali permulaan mesyuarat. Saya tak nampak itu satu inisiatif baharu kerana lazimnya memang kita mulakan mesyuarat dengan Ummul Kitab dan doa. Mungkin Ketua Menteri rasa itu baharu bagi dia,” ujarnya.
Dr Mohd Yadzil yang juga Ketua Bahagian BERSATU Jasin dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka berkata, beliau mencadangkan agar bacaan al-Fatihah turut dimulakan dalam setiap Persidangan DUN.
“Kalau dah buat di mesyuarat kerajaan, elok juga kita mulakan dalam setiap sidang DUN dengan bacaan al-Fatihah. (Ia lebih tersusun dan nampak berbeza),” terangnya.
Mengulas pembukaan Sidang DUN yang bermula Jumaat lalu, beliau berkata berlaku beberapa perkara luar kebiasaan termasuk penegasan oleh Speaker supaya perbahasan hanya tertumpu pada titah ucapan Yang di-Pertua Negeri Melaka
Turut dipersoalnya tindakan memainkan lagu Negaraku secara tiba-tiba ketika sesi soal jawab berlangsung menyebabkan Exco yang sedang menjawab terpaksa menghentikan jawapan, manakala semua ADUN berdiri.
“ADUN Sungai Udang kemudian bangkit bertanya sebab perkara itu berlaku secara tiba-tiba. Namun, ADUN kerajaan memprovokasi beliau hingga keadaan jadi sedikit kecoh,” katanya.
Dr Mohd Yadzil berkata, beliau tiada masalah dengan usaha menyemai semangat patriotik, tetapi seharusnya ia dilakukan secara lebih tersusun.
“Apa kata kita mulakan Sidang DUN secara rasmi dengan semua bangun dan menyanyikan lagu Negaraku, bukan tiba-tiba. Ini bukan macam azan yang waktunya tetap,” katanya.
Beliau turut menjelaskan sebagai Ketua Pembangkang, beliau membawa pelbagai isu mewakili rakyat seluruh Melaka, bukan hanya di kawasan Bemban.
Katanya, walaupun sekadar tiga wakil pembangkang di DUN Melaka, peranan mereka tetap penting dalam menyuarakan masalah rakyat secara menyeluruh. – HARAKAHDAILY 1/5/2025











