
KANGAR: Tindakan mengecat putih dinding Gua Cenderawasih bukanlah cubaan memusnahkan keindahan semula jadi lokasi itu, tetapi langkah menutup kata-kata kesat akibat vandalisme, jelas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Menurut beliau, pengusaha kafe yang menyewa kawasan gua itu hanya menggunakan cat kapur – bersifat sementara dan boleh dihapuskan – bagi menutup tulisan yang mencemarkan pandangan dan mencalar imej negeri ini.
“Bayangkan kalau kita buka kafe, pelancong tengok perkataan tak senonoh dalam gua tu. Ini gambaran buruk terhadap budaya kita. Jadi pengusaha ambil inisiatif menutupnya,” ujar beliau pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, semalam.
Tindakan pembangunan kafe di kawasan berkenaan menerima kritikan beberapa pihak yang bimbang ia boleh merosakkan ekosistem gua.
Namun, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tampil menjelaskan bahawa dialog telah diadakan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang pembangunan tidak menjejaskan nilai geotapak itu.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, usaha mencari titik persefahaman diteruskan, dan semua pihak diundang untuk memberi pandangan secara berhemah demi melindungi alam sekitar.
Mohd Shukri turut menegaskan bahawa struktur binaan adalah di luar gua dan bersifat sementara.
Tambah beliau, projek itu bertujuan menarik kehadiran pelancong serta mengurangkan aktiviti tidak bermoral seperti maksiat dan vandalisme yang kerap berlaku.
“Kita mahu ubah imej kawasan itu. Tapi buat masa ini, kita tangguhkan dulu pelaksanaan kafe tersebut untuk teliti garis panduan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) berkaitan geotapak,” katanya.
Beliau menafikan penangguhan dibuat atas desakan mana-mana pihak, sebaliknya menegaskan kerajaan negeri mahu memastikan sebarang pembangunan kekal mesra alam dan mematuhi peraturan antarabangsa. – HARAKAHDAILY 1/5/2025











