
KUALA LUMPUR: Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSPP) bertekad meluaskan lagi program Ihya’ Ramadan yang disifatkan telah dilangsungkan dengan penuh makna pada tahun ini.
Pengerusi LKKSPP, Dr Rosni Adam menyatakan penghargaan khusus kepada para dermawan dan amilin serta sukarelawan kerana telah menjayakan program yang memasuki tahun ke-15 itu.
“Segala yang kami lakukan hanyalah usaha kecil demi mencari redha Allah dan ketika melihat senyuman di wajah mereka yang disantuni, kami tahu bahawa kasih sayang Allah sedang mengalir melalui tangan-tangan para dernawan dan sukarelawan,” ujarnya.
Direkodkan, LKKSPP telah ‘menyentuh’ kehidupan 3,806 insan melalui program tersebut iaitu seramai 2,630 orang dijamu dalam iftar jamaie dan edaran makanan, 600 keluarga menerima pek makanan dan duit raya dalam program Semarak Kasih.
Manakala 216 orang menerima sumbangan murabitun iaitu program khas buat mereka terus istiqamah berjuang dalam PAS di mana program ini turut digerakkan oleh hampir 1,000 orang dalam kalangan ahli dan pendukung PAS.
Semua itu dimaklum melibatkan jumlah sumbangan mencecah RM83,387 dengan program bukan sekadar edaran makanan atau pemberian bantuan, tetapi juga menjadi simbol kasih sayang, empati, dan harapan
Menerusi program ini juga LKKSPP membuktikan bahawa di sebalik kesibukan dunia, masih ada hati-hati yang tidak lupa memberi dan walaupun Ramadan sudah berlalu, namun kehangatan kasih sayang dan semangat memberi yang terpancar itu masih terasa.
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya,” ujarnya memetik ayat 18 surah al-Hadid.
Dr Rosni turut menitipkan harapan agar program ini dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, bukan hanya lebih besar jumlahnya, tetapi lebih dalam kesannya agar tiada siapa yang tertinggal dari limpahan kasih dan ihsan dalam bulan penuh rahmat. – HARAKAHDAILY 1/5/2025











