Sekolah YIK catat kecemerlangan dalam SPM 2024

Walaupun berjuang dalam banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 80 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 sekolah agama di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) mendapat keputusan cemerlang walaupun menjalani peperiksaan ketika bencana banjir.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata demikian ketika mengumumkan keputusan peperiksaan SPM di Komplek YIK Tunjong, dekat sini kelmarin.

Katanya, 11 daripada mereka mendapat 12A manakala 10 calon memperoleh 11A, sementara seramai 28 calon pula mendapat 10A dan 31 calon mendapat 9A.

“Calon SPM tahun lalu telah diberi motivasi yang cukup tinggi untuk kejayaan mereka walaupun terpaksa menempuh kesukaran belajar dan menjalani peperiksaan dalam suasana banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bagi Sekolah-Sekolah Yayasan Islam Kelantan Tahun 2025.

Katanya lagi, pelajar yang cemerlang itu juga mampu menghafaz al-Quran dan menguasai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

ADUN Pengkalan Kubor itu juga memberitahu, seramai 5,090 pelajar daripada 82 sekolah YIK menduduki SPM tahun lalu, dengan jumlah calon juga menurun seramai 430 orang berbanding tahun sebelumnya iaitu 5520.

“Bagaimanapun, peratus kelulusan didapati meningkat sebanyak 0.86 peratus dan analisis lengkap sebanyak 42 sekolah mencatat keputusan kelulusan 100 peratus,” beritahunya lagi.

Hadir sama pada sidang media itu timbalannya, Kamaruzaman Mohamad dan Pengarah YIK, Zulkifle Ab Rahman.

Sementara itu Maahad Tahfiz Al Quran Darul Saadah muncul sekolah terbaik aliran YIK pada peperiksaan SPM 2024 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.68.

Diikuti Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat GPS 1.90  dan kedudukan ketiga Maahad Sains Tok Guru dengan GPS 2.34 dengan ketiga-tiga sekolah ini juga terbaik di peringkat Maahad Kawalan.

Mahd Saniah Pasir putih muncul sekolah tebaik SPM bagi kategori Maahad Pilihan dengan GPS-nya 3.75.

Maahad Syamsul Maarif (P) muncul sekolah terbaik Maahad Kerajaan (4.37),  SMU (A) Tarbiah Diniah Bunut Sarang Burung pula terbaik kategori SMU (A) Bantuan dan SMU (A) Darul Imam Beris Lalang Terbaik kategori Sekolah Arab Bantuan Kerajaan (SABK). – HARAKAHDAILY 26/4/2025

- Advertisement -