
KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bersedia mengambil langkah sepertimana dilaksanakan di peringkat Persekutuan melalui Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dengan menginstitusikan penambahbaikan pentadbiran di peringkat negeri.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, pelaksanaan tersebut hanya akan diteruskan sekiranya terdapat ruang dari segi perundangan dan sokongan padu daripada semua pihak yang berkepentingan.
“Langkah awal ke arah pewujudan perkhidmatan serupa sekiranya terdapat ruang perundangan dan sokongan dari semua pihak, dengan semestinya terlebih dahulu mendapatkan pandangan secara menyeluruh daripada pelbagai golongan berkepentingan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian susulan kelulusan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 oleh Dewan Rakyat baru-baru ini, yang merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kebebasan institusi Parlimen daripada kawalan eksekutif.
Katanya, akta tersebut merangkumi beberapa intipati utama termasuk penubuhan perkhidmatan parlimen yang berkuasa menguruskan sumber manusia, kewangan dan pentadbiran secara bebas.
“Akta itu juga menambahbaik sistem dan keupayaan dalam penggubalan undang-undang dan pemerkasaan autonomi Speaker dan Ahli Parlimen dalam melaksanakan tugas tanpa campur tangan luar,” katanya berucap pada pembukaan Sidang DUN Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, bagi negeri-negeri seperti Terengganu, perundangan itu
membuka ruang untuk menginstitusikan hal yang sama di peringkat Dewan Undangan Negeri.
“Tindakan ini sejajar dengan prinsip subsidiariti dalam Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan kuasa kepada negeri untuk menambah baik pentadbiran mengikut konteks tempatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2025





















