
KUALA TERENGGANU: Pemberian subsidi RM150 juta oleh kerajaan bagi mengekalkan harga beras tempatan pada RM2.60 sekilogram dalam tempoh enam bulan disifatkan tidak menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh pesawah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, subsidi tersebut malah memberi keuntungan besar kepada pihak yang mengubah beras tempatan menjadi beras import.
“Faktanya ialah, pihak kartel industri yang menukar beras tempatan menjadi beras super import telah meraih keuntungan yang sangat lumayan atas beban yang dipikul oleh pesawah, rakyat dan pengguna.
“Sekarang diumumkan Kerajaan Pusat telah menyediakan subsidi RM150 juta dalam tempoh 6 bulan demi untuk mengekalkan harga beras tempatan RM2.60. RM150 juta disasarkan akan menghasilkan 24 juta kampit beras.
“Bermakna Kerajaan Pusat membayar subsidi sebanyak RM6.25 bagi setiap kampit. Kepada siapakah subsidi ini akan dibayar? Tentu sekali bukan kepada pesawah. Mereka yang mendapat manfaat dari RM150 juta ini ialah pihak kartel industri yang sebelum ini telah mengaut keuntungan dari manipulasi beras tempatan kepada beras import.
“Sebelum ini mereka telah mendapat untung besar dan sekarang mereka juga yang untung besar,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Zuraida Md Noor (PAS-Ladang), dalam soalan tambahan bertanyakan apakah kerajaan negeri melihat langkah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), yang menaikkan harga lantai.
Iaitu daripada RM1,300/tan kepada RM1,500/tan serta peruntukan subsidi RM150 juta dalam tempoh 6 bulan akan mampu menyelesai masalah isu beras tempatan.
Menurut Azman, isu utama kebajikan pesawah yang menanggung beban akibat kenaikan kos pengeluaran masih kekal tidak terjawab.
“Beras tempatan yang dijanjikan akan ada di pasaran masih malu-malu untuk memunculkan diri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/4/2025











