
KUANTAN: Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Andansura Rabu menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui membantah keras penguatkuasaan pencerobohan tanah hutan simpan sebagai satu perbuatan menentang kerajaan.
“Perkara ini memang menghairankan kerana dia adalah ahli parlimen di pihak kerajaan. Sewajarnya kalau dia rasa nak lawan kerajaan, maka keluarlah daripada kerajaan dan memang kita alu-alukan DAP keluar daripada Kerajaan Pahang.
“Sepatutnya, dia sebagai ahli parlimen faham bahawa tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas adalah kesalahan yang besar dan tidak boleh ditutup atau dibiarkan sahaja,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah.
Beliau juga berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap Chow berikutan insiden ahli parlimen daripada DAP itu bersama pekebun haram terbabit menceroboh dan menghalang penguat kuasa daripada menebang pokok durian di Raub.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Dato’ Saifuddin Abdullah turut menggesa DAP meninggalkan Kerajaan Pahang sekiranya parti itu berhasrat untuk terus berkonfrontasi dengan tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan itu.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu menyifatkan wakil rakyat dan pimpinan DAP bersikap songsang dan mengelirukan rakyat kerana secara jelas mereka secara bersama dengan pihak yang melanggar undang-undang dan penguatkuasaan.
Kekeliruan ditimbulkan oleh pemimpin DAP di Pahang pula bidas beliau, kerana tidak jelas sama ada mereka mahu memperjuangkan hak rakyat atau membela kalangan yang mengingkari undang-undang. – HARAKAHDAILY 15/4/2025











