Umno digesa pecat DAP dari Kerajaan Pahang dan Perak

- Advertisement -

TAPAH: Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui telah membuat kenyataan yang sangat tidak wajar apabila membandingkan tindakan penguatkuasaan terhadap ladang haram dengan usaha rakyat Malaysia membantu rakyat Palestin.

- Advertisement -

Perikatan Nasional (PN) menyifatkan tindakan Chow mempersoalkan mengapa rakyat Palestin boleh dibantu dan pekebun haram tidak dibantu adalah sangat tidak sensitif dan mencemar semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan.

“Malah kegagalan seorang ahli parlimen dari DAP untuk memahami perbezaan antara isu kemanusiaan dan pencerobohan tanah kerajaan amat dikesali. Lebih mengejutkan ialah laungan ketika himpunan anjuran kumpulan pekebun haram itu.

“Mereka melaungkan ‘tiada pekebun haram, hanya ada perompak di sisi undang-undang’ menimbulkan persoalan siapa yang sebenarnya dimaksudkan dengan laungan tersebut? Kerajaan Negeri? Tuanku Sultan Pahang?” persoal PN dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PAS memandang serius tindakan biadab itu yang seolah-olah mencabar titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan meremehkan undang-undang yang ada dalam negara.

“Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada DAP mengecam tindakan Ahli Parlimen Raub, walaupun jelas isu ini melibatkan undang-undang dan titah Tuanku Sultan Pahang.

“PAS mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana bertindak melaksanakan titah Tuanku Sultan Pahang. Namun timbul persoalan, apakah pendirian Umno terhadap DAP dalam Kerajaan Negeri Pahang.

“Yang jelas mencabar Kerajaan Negeri dan biadab terhadap Tuanku Sultan Pahang. Mengapa tiada sebarang kenyataan tegas dikeluarkan oleh Umno terhadap DAP?” tambahnya.

Lebih membimbangkan, situasi serupa itu juga dilihat berlaku di negeri Perak, di mana komposisi kerajaan negeri didominasi oleh DAP.

“Walaupun Menteri Besar adalah daripada Umno, mereka bergantung kepada 24 kerusi PH yang mana 18 daripadanya adalah milik DAP. Apakah DAP di Perak juga satu hari nanti akan membuat onar dalam negeri Perak seperti yang dibuat di Pahang?

“PAS mendesak Umno sebagai rakan gabungan dalam kerajaan negeri bersama DAP, menyatakan pendirian jelas terhadap tindakan Ahli Parlimen Raub.

“Umno juga digesa mengambil tindakan tegas memecat DAP daripada menjadi sebahagian daripada Kerajaan Pahang dan Perak atas tindakan biadab DAP dan Ahli Parlimen Raub,” katanya.

Sultan Pahang semalam menzahirkan kemurkaan terhadap insiden pencerobohan tanah yang berlaku di negeri itu.

Baginda bertitah supaya rakyat di negeri itu bertindak sebagai mata dan telinga baginda dalam memastikan tanah-tanah milik negeri tidak diceroboh sewenang-wenangnya. – HARAKAHDAILY 15/4/2025

- Advertisement -