Kelantan Sejahtera 2033: Alukan pandangan perantau

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengalu-alukan pandangan dan cadangan secara spesifik bagi pembangunan dari anak Kelantan di perantauan di bawah agenda ‘Negeri Masa Depan: Kelantan Sejahtera 2033’.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Daud berkata, satu kajian dibuat bagi membina senario masa depan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, proses yang dilaksanakan oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu mendedahkan kelompangan yang boleh ditampung dengan kepakaran dimiliki oleh anak Kelantan di perantauan.

“Dalam satu kajian yang dilakukan dibawah ‘Future State: Kelantan Sejahtera 2033’ mendedahkan salah satu cabaran iaitu kita akan hadapi kekurangan modal insan, sumber manusia dan juga pakar.

“Hal ini kita memohon jasa baik Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN) dapat membantu kita memberi sumbangan, idea atau apa jua kepakaran yang ada, kita amat alu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mesra Aidilfitri Pemimpin Kerajaan Negeri Bersama Anak-Anak Kelantan di Perantauan di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK), di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar, Dato Panglima Perang Mohd Nasuruddin Daud; Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu berkata lagi, kerajaan negeri amat memahami kesukaran yang terpaksa diharungi oleh anak perantauan untuk menyambut hari lebaran bersama keluarga.

Malah kata beliau, keadaan tersebut tidak sedikit pun menjejaskan sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, hampir 85 peratus warga Kelantan di perantauan menghadiri majlis mesra aidilfitri diadkan bagi kerajaan negeri menyatakan penghargaan kepada golongan terbabit.

“Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada anak Kelantan di perantauan, ada yang balik, kita tengok dalam hantaran di Facebook, menempuh perjalanan yang sangat lama.

“Ada yang 14 jam, ada 18 jam dan ada 20 jam semata-mata untuk pulang menyambut hari raya bersama keluarga dan hari raya kedua mereka datang ke sini untuk beraya bersama pimpinan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2025

- Advertisement -