
TUMPAT: PAS Kelantan akan mengadakan Majlis Sambutan Aidilfitri pada 10 April ini, bertempat di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV bermula pukul 11:00 pagi.
Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, berkata majlis tahunan ini diadakan bagi meraikan rakyat Kelantan sempena Syawal.
Menurutnya, PAS Kawasan seluruh negeri termasuk Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) turut menyertai majlis ini dengan menyumbang juadah Aidilfitri masing-masing.
“Pihak penganjur menjemput semua lapisan masyarakat hadir bagi memeriahkan majlis ini tanpa mengira latar belakang politik dan agama,” katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, pada kebiasaannya antara menu yang disediakan nasi dagang, nasi arab, nasi impit berserta kuah lodeh, sate, buah-buahan, laksa dan laksam dan berbagai menu lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sambutan Aidilfitri akan diselaraskan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tumpat bermula 4 April ini.
Katanya, tiga DUN dalam Parlimen Tumpat akan menganjurkan majlis itu di Pusat Khidmat DUN (PKD) masing-masing, kecuali DUN Kelaboran akan diadakan di pekarangan kediaman ADUN di Kampung Tembesu.
Menurutnya, kebanyakan DUN di Kelantan menganjurkan majlis Aidilfitri pada 4 Syawal, namun PAS Kawasan Tumpat memutuskan untuk mengadakan serentak di empat DUN dalam Parlimen itu.
Ini kerana katanya, bagi memberi peluang kepada perantau yang pulang ke kampung halaman sempat menghadiri majlis berkenaan.
“Masa mereka begitu singkat, jadi sekiranya majlis dianjurkan awal Syawal, anak perantau sempat hadir.
“Pada masa yang sama, ia memudahkan orang ramai untuk menghadiri majlis ini dalam satu hari tanpa perlu menunggu tarikh lain untuk hadir pada majlis yang sama,” jelasnya.
Menariknya, masyarakat bukan Muslim turut menyediakan juadah sendiri di reruai khas untuk dinikmati oleh para pengunjung pada hari berkenaan. – HARAKAHDAILY 2/4/2025











