Kuala Krai antara Bandar Paling Bahagia 2025

- Advertisement -

KUALA KRAI: Selepas Jeli, Kuala Krai pula telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 20 Bandar Paling Bahagia 2025 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr  Mohamed Fadzli Hassan, mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Kuala Krai atas pencapaian tersebut.

Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan keharmonian, kesejahteraan serta kualiti kehidupan tinggi di kalangan masyarakat setempat.

“Pengiktirafan ini dibuat berdasarkan penilaian Indeks Kebahagiaan yang dilaksanakan oleh PLANMalaysia melalui Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar dan Luar Bandar Malaysia (MURNInets).

“Kebahagiaan sebenar bukan sekadar diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga pada kesejahteraan rohani, kekuatan ukhuwah dan keberkatan hidup dalam masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Kelantan komited untuk terus memperkasa kesejahteraan rakyat melalui pembangunan yang seimbang, berpaksikan nilai-nilai Islam dan kehidupan harmoni.

“Semoga Kuala Krai terus berkembang sebagai sebuah bandar yang makmur, damai dan diberkati Allah SWT,” tambahnya.

Bandar Kuala Krai menduduki tempat ketiga dalam senarai 20 Bandar Paling Bahagia 2025, di mana Bandar Lipis Pahang ditempat pertama dan Cameron Highland di tempat kedua. – HARAKAHDAILY 26/3/2025

- Advertisement -