Terengganu: 1,376 pelajar STPM terima bantuan kewangan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu terus menunjukkan komitmen dalam memperkasa sektor pendidikan dengan menyediakan bantuan pendidikan berjumlah RM688,000 kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi sesi 2024/2025. 

- Advertisement -

Bantuan yang disalurkan melalui Yayasan Terengganu itu memberi manfaat kepada 1,376 pelajar di seluruh negeri, dengan setiap pelajar menerima RM500 sebagai sokongan dalam meneruskan pembelajaran. 

Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, bantuan itu merupakan inisiatif pihaknya dalam menghargai pelajar sekali gus mendorong mereka melakukan yang terbaik khususnya dalam peperiksaan STPM nanti.

“Kemajuan dan kejayaan sesebuah negara dalam abad ke-21 ini bergantung kepada tahap pendidikan serta kualiti modal insan rakyatnya.

“Menyedari hakikat tersebut, Yayasan Terengganu telah berusaha secara konsisten melahirkan modal insan berkaliber bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan negeri terus terjamin di masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan STPM Yayasan Terengganu Tahun 2024/2025 Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.

Sukairi berkata, kerajaan negeri memperuntukkan dana besar setiap tahun melalui pelbagai insentif pendidikan untuk melahirkan pelajar berilmu pengetahuan tinggi, berakhlak mulia serta berdaya saing di peringkat nasional mahupun global.

“Bantuan Pendidikan STPM ini contohnya adalah salah satu manifestasi kerajaan negeri untuk terus memacu kecemerlangan modal insan berpaksikan slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’.

“Justeru kita mengharapkan pelajar dapat menggunakan (bantuan) secara bijaksana, penuh amanah dan bertanggungjawab. Teruslah tekun dalam pelajaran, tingkatkan displin diri serta tanamkan semangat untuk sentiasa menjadi insan yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, seramai 409 pelajar dari 11 sekolah menengah di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus menerima bantuan tersebut dalam majlis berkenaan. – HARAKAHDAILY 24/3/2025

- Advertisement -