
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan tuntutan Gabungan Pegawai Perubatan Malaysia secara berhemah dan teliti.
Beliau berkata, kemelut yang tercetus akibat pembatalan sistem e-Placement Pegawai Perubatan masih berlarutan dan perlu diselesaikan segera.
Gabungan Pegawai Perubatan Malaysia sebelum ini menggesa supaya keputusan e-Placement bertarikh 27 Februari 2025 dikekalkan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hasan, keputusan pembatalan itu dibuat susulan gangguan teknikal yang serius, menyebabkan lebihan penempatan diluluskan berbanding kuota asal.
Beliau juga mendedahkan bahawa walaupun terdapat 50 peratus kekosongan di Sabah dan Sarawak, kurang daripada satu peratus pegawai perubatan memilih untuk ditempatkan di sana.
Dr Ahmad Yunus berpandangan bahawa gesaan yang dibuat oleh gabungan itu adalah wajar dan patut dipertimbangkan oleh KKM.
“Enam tuntutan itu boleh diperbincangkan sebagai langkah penyelesaian isu ini dan jangka panjang serta tidaklah keterlaluan. Hanya kohort ini 2,245 Pegawai perubatan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Kuala Langat itu turut menyarankan pegawai perubatan yang terlibat agar bersedia menerima penempatan di Sabah dan Sarawak, memandangkan keperluan doktor di sana sangat mendesak.
“Sudah tentulah elaun perpindahan pegawai perubatan juga perlu diberikan dengan sewajarnya. Keperluan doktor di Sabah Dan Sarawak tidak boleh ditangguhkan pagi.
“Percayalah para doktor akan menimba pengalaman yang bermakna berkhidmat di sana. Ini pengalaman yang pernah saya dan doktor sebelum ini lalui,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu pertemuan segera antara Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah Kesihatan dengan wakil Gabungan Pegawai Perubatan Malaysia bagi merungkai dan menyelesaikan isu itu secara tuntas.
“Saya mencadangkan agar penempatan kohort ini di buat secara konvensional sementara sistem dipulihkan segera. Senioriti dan kebajikan pegawai perubatan ini juga harus dipertimbangkan KKM,” tambahnya.
Beliau berharap para pegawai perubatan yang terlibat akan terus kekal berkhidmat dalam sektor awam bagi memenuhi keperluan kesihatan negara yang semakin meningkat. – HARAKAHDAILY 24/3/2025











