Tadarus Perdana hidupkan budaya tadabbur Al-Quran

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lebih daripada 600 peserta menyertai Majlis Wanita Bertadarus dan Khatam Al-Quran 2025 Peringkat Negeri Kedah diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Acara tahunan setiap kali Ramadan ini di bawah pengurusan dan pengendalian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad.

Melalui program itu bukan sahaja menghidupkan budaya membaca dan memahami Al-Quran, sebaliknya menjalinkan serta memperkukuh ukhuwah sesama wanita Islam di negeri itu.

Selain dapat mendidik diri mendekati Allah dengan menghayati isi kandungan ayat-ayat suci Al-Quran terutama di bulan yang mulia ini.

Dalam pada itu, Dato’ Halimaton pada ucapannya berkata, kesibukan wanita dengan tugas seharian sama ada sebagai isteri, ibu, penjawat awam dan sebagainya, bukanlah alasan bagi mereka untuk mendekati diri kepada Allah.

“Dalam apa jua keadaan, jangan lupa tanggungjawab sebagai seorang muslim selain menjaga hubungan sesama manusia dan memperbaiki diri ke arah lebih baik lagi,” kata beliau.

Malah katanya, kedua-dua hubungan itu apabila diamalkan secara istiqamah, masyarakat akan hidup dalam keadaan aman dan harmoni di samping dapat mencapai ukhuwah dan perpaduan ummah yang sejati.

Peserta tadarus yang hadir pada program tersebut kebanyakannya terdiri daripada wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan dan masyarakat setempat.

Pada majlis  itu, para peserta juga bersempatan mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Penolong Mufti (Bahagian Fatwa), Ustazah Dr Faridah Ahmad. – HARAKAHDAILY 23/3/2025

- Advertisement -