
KOTA BHARU: Pejabat Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi hari ini menerima kunjungan oleh rombongan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Kelantan.
Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, lawatan itu bertujuan bagi mengadakan sesi pengabsahan Data Banci Pertanian 2024 bermula pada 7 Julai sehingga 10 Oktober.
“Ia akan digunakan untuk penerbitan statistik pertanian secara berkala serta merangka, memantau, dan menilai program bagi meningkatkan sektor keterjaminan makanan negara.
“Ini adalah langkah penting untuk memastikan ketepatan data yang dikumpulkan, seterusnya membantu perancangan dan pelaksanaan inisiatif bagi meningkatkan makanan,” katanya.
Terdahulu dalam sesi itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu menerima taklimat yang disampaikan oleh Pengarah DOSM Kelantan, Mohd Shahrill Abdul Rashid.
Media sebelum ini melaporkan Banci Pertanian 2024 dilaksanakan seluruh negara termasuk Kelantan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh struktur sektor pertanian negara.
Inisiatif yang dilaksanakan oleh DOSM itu membabitkan empat subsektor utama pertanian iaitu tanaman, ternakan dan akuakultur selain sektor perhutanan dan juga pembalakan.
Hasil bancian tersebut akan menjadi asas kepada penyediaan indikator keterjaminan makanan dan pembangunan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu (MySAgR).
(MySAgR) merupakan sebuah platform data pertanian yang akan memperkukuh ekosistem sektor ini. – HARAKAHDAILY 23/3/2025











