Ramadan: ADUN Sg Limau santuni 100 anak yatim

- Advertisement -

JERAI: Sumbangan kebajikan dilaksanakan sepanjang Ramadan ini, bukan sekadar menghulurkan bantuan, tetapi lebih kepada menyemai rasa kasih sayang dan kepedulian terhadap mereka yang memerlukan.

- Advertisement -

Malah agenda kebajikan yang menjadi perhatian kerajaan negeri antara program berterusan sejajar misi serta slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’.

Serta bertepatan, ‘Kedah negeri orang miskin berteduh dan orang kaya berbakti’ sebagaimana sering diungkapkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Program kebajikan terus bersemarak tanpa sempadan fahaman politik, sebaliknya keutamaan kepada golongan sasaran yang layak.

Berikutan itu, seramai 100 penerima dari kalangan asnaf dan tidak ketinggalan anak-anak yatim, menerima Kotak Set Makanan, pada majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Sungai Limau, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, hasrat utama agar setiap individu yang layak menerima bantuan dapat merasai kegembiraan Ramadan melalui sumbangan seumpama itu.

Sama ada katanya, disumbang oleh kerajaan negeri, pihak persendirian, badan korporat, syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sebagainya.

“Yang penting, mereka yang tidak bernasib baik tidak merasa ketinggalan atau terpinggir terutama di bulan yang mulia ini,” tegasnya.

Ramadan katanya, bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menguatkan nilai-nilai kemanusiaan berkongsi rezeki.

Kotak Set Makanan berkenaan merupakan sumbangan Yayasan Telekom Malaysia, dengan kerjasama PKWR terbabit.

“Semoga usaha seperti ini berterusan dan menjadikan Kedah sebagai negeri tempat orang miskin berteduh dan orang kaya menabur bakti,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/3/2025

- Advertisement -