Khidmat Malaysia gerak bantuan ke Johor dan Sabah

Dr Shawn Loh Sheng Nian menyampaikan sumbangan kepada Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda Johor dan Sabah menyebabkan Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) membuat perancangan rapi dengan menyusun kerja pasukan operasi untuk berkhidmat di kedua-dua negeri itu.

Pengarah Khidmat Malaysia Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Shawn Loh Sheng Nian berkata, mesyuarat tergempar yang diadakan petang semalam, memastikan pasukan operasi dapat tiba di kawasan yang dilanda bencana itu secepat mungkin.

- Advertisement -

Dalam mesyuarat itu, katanya Pengarah Khidmat Malaysia di seluruh negara turut melaporkan kemajuan terkini operasi bantuan.

“Kakitangan dari setiap negeri dihantar ke kawasan paling teruk terjejas di Johor dan Sabah untuk menyelaras bantuan dan membaiki kemudahan penduduk setempat, selain menyelamatkan penduduk yang terperangkap, membuka sekatan lalu lintas dan membersihkan rumah,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pengerusi dan Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary dan Khairul Faizi Ahmad Kamil ketika mesyuarat itu menyatakan bahawa Khidmat Malaysia adalah antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang paling aktif memberi sumbangan besar dalam operasi kemanusiaan di negara ini.

Sementara itu, Dr Shawn turut memberikan sumbangan wang tunai kepada operasi pasukan bencana tahun ini, termasuk Khidmat Malaysia, pada masa sama menyampaikan RM5,000 kepada operasi di Johor dan Sabah.

Dr Shawn Loh Sheng Nian bersama Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Beliau turut meminta masyarakat menghulurkan bantuan kepada Khidmat Malaysia bagi membantu mangsa banjir dan operasi kemanusiaan dengan sumbangan boleh dibuat ke akaun Khidmat Malaysia (Maybank: 5623 8454 2866).

Katanya, bagi mereka yang hendak mendapatkan maklumat lanjut atau pertanyaan berkaitan banjir, boleh menghubungi talian hotline Khidmat Malaysia, iaitu 011-14174789. – HARAKAHDAILY 23/3/2025

- Advertisement -