
PARIT: Seramai 100 asnaf dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota diraikan dalam program Ingatan Kasih Ambang Syawal yang berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat ADUN Bota, di sini semalam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bota, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, program bertujuan untuk menyantuni golongan yang memerlukan menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba kurang 10 hari lagi.
“Aidilfitri ini bukan sahaja pakaian baru dan juadah istimewa, bahkan meraikan semua golongan dengan kasih sayang.
“Apalah kiranya seorang wakil rakyat menikmati juadah yang lazat dan sedap-sedap sedangkan rakyatnya tidak berpeluang merasainya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Sabtu.
Turut hadir, Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib dan anggota Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Parit serta para Pegawai Pusat Khidmat, serta para penyumbang yang bersama-sama merealisasikan program itu.
Najihatussalehah berharap, sumbangan yang diberikan dapat menceriakan sambutan Hari Raya para penerima dan membolehkan mereka bergembira bersama keluarga tersayang.
Justeru, program seperti itu mencerminkan keprihatinan wakil rakyat dalam memastikan golongan asnaf turut merasai kemeriahan Aidilfitri serta menjadi contoh kepada pihak lain dalam menjaga kebajikan masyarakat yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 23/3/2025











