Yayasan Amal Malaysia difitnah terima dana asing

Tangkap layar di platform Facebook Yayasan Amal Malaysia berhubung fitnah terima dana daripada USAID.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yayasan Amal Malaysia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berniat jahat dan tidak berasas kononnya menerima dana atau sebarang bentuk bantuan kewangan daripada mana-mana dana antarabangsa.

- Advertisement -

Ketua Setiausahanya, Mohd Razali Moksim berkata, Yayasan Amal Malaysia adalah sebuah organisasi kebajikan yang beroperasi secara bebas, berlandaskan prinsip ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban dalam setiap inisiatif kemanusiaan dijalankan.

“Segala dana yang digunakan oleh Yayasan Amal Malaysia diperoleh melalui sumbangan orang ramai, derma daripada individu, institusi tempatan, serta usaha pengumpulan dana yang sah di sisi undang-undang.

“Dakwaan bahawa Yayasan Amal Malaysia menerima dana daripada United States Agency for International Development (USAID) adalah satu fitnah jahat yang bertujuan mencemarkan reputasi organisasi kami serta mengelirukan masyarakat.

“Kami memandang serius tuduhan ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Justeru, pihaknya menyeru orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan khabar angin dan fitnah yang tidak berasas.

“Kami juga menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap penyebar berita palsu yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap usaha kebajikan yang dijalankan oleh Yayasan Amal selama ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2025

- Advertisement -