
KUALA TERENGGANU: Seramai 69 keluarga penghuni Projek Perumahan Besut-Setiu Agropolitan di Langkap menyambut Aidilfitri tahun ini dengan lebih bermakna apabila secara rasmi menerima hak milik rumah kediaman.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemberian dokumen hak milik itu adalah satu kejayaan besar setelah lebih satu dekad menetap di kawasan berkenaan sejak 2013.
“Sejak menetap di sini pada tahun 2013, kali ini mereka akan berhari raya di rumah kediaman yang telah rasmi menjadi milik sendiri. Daripada 100 keluarga penghuni, pagi ini kita agihkan dokumen hak milik kepada 69 penerima.
“Bakinya masih menunggu beberapa proses teknikal selesai sebelum dapat dikeluarkan dokumen hak milik. Tanah lot seluas 300 meter persegi beserta rumah yang dibina oleh kerajaan diberikan hak milik.
“Para peserta hanya perlu membayar RM1,000 sahaja sebagai bayaran premium,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Untuk rekod, projek Agropolitan Besut-Setiu merupakan inisiatif di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang bertujuan meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.
Iaitu melalui aktiviti pertanian dan penternakan. Projek ini melibatkan kawasan seperti Panchor Menderu dan Bukit Putera di Setiu, Terengganu.
Pada tahun 2013, seramai 100 peserta telah menyertai projek ini di Panchor Menderu, Bukit Putera, sejak Jun tahun tersebut dengan mereka terlibat dalam aktiviti penternakan biri-biri sebagai sumber pendapatan utama.
Projek ini juga menyediakan kemudahan perumahan yang selesa untuk peserta, selain infrastruktur seperti kandang ternakan yang lengkap di atas tanah milik kerajaan negeri.
Langkah ini bertujuan memastikan peserta dapat menjalankan aktiviti penternakan dengan lebih efisien dan meningkatkan taraf hidup mereka.
Secara keseluruhan, Projek Agropolitan Besut-Setiu di Bukit Putera, Setiu, Terengganu, merupakan usaha ECERDC dengan kerjasama kerajaan negeri untuk memajukan sektor pertanian dan penternakan.
Sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat melalui penyediaan peluang ekonomi dan kemudahan infrastruktur yang baik.
Azman turut berpesan supaya menjaga keharmonian sesama jiran dan mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah.
“Duduk molek-molek deh. Jaga keharmonian bersama jiran tetangga. Lazimi sembahyang berjemaah di masjid. Sepakat membawa berkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2025











