Malaysia didesak lebih berani, tegas terhadap Israel

Susulan serangan genosid terkini yang mencabuli gencatan senjata

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan Malaysia perlu menyemak kembali pengecualian Perkara 9 Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) susulan serangan Israel ke atas Gaza pada minggu lalu.

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman menegaskan, semakan tersebut amat penting untuk memastikan Malaysia dapat melaksanakan intervensi atau terlibat secara langsung bagi mendakwa rejim Israel itu.

Katanya, pendakwaan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) itu dapat dilakukan Malaysia bersama negara lain termasuk Afrika Selatan yang terdahulu memulainya, ekoran rejim tersebut mencabuli gencatan senjata dengan serangan dilakukan.

Beliau menyuarakan demikian kepada media selepas Himpunan Parti Politik Se-Malaysia Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Bersolidariti Untuk Gaza Palestin di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor, di sini semalam.

“Saya mewakili PAS menyampaikan ucapan dan penegasan bahawa rakyat, kerajaan dan seluruh masyarakat dunia perlu dengan lebih berani dan tegas untuk menghentikan segera genosid di Gaza Palestin.

“Tindakan terbaharu ini sedang dilakukan dengan ganas, kejam oleh rejim Zionis-Israel yang sedang dibantu oleh Amerika Syarikat. Juga melaksanakan pemboikotan dengan sebarang bentuk jual beli dan dagangan dengan negara haram Israel secara langsung.

“Dan tidak wajib diteruskan oleh rakyat Malaysia serta kerajaan, termasuk menyemak kembali penjualan saham MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) kepada syarikat GIP-BlackRock,” ujarnya yang mewakili PAS.

Tentera Israel kembali melakukan serangan meluas termasuk menerusi udara secara intensif bermula Selasa, 18 Mac lalu dan mengorbankan ratusan nyawa termasuk wanita, warga emas dan kanak-kanak serta petugas sukarelawan.

Tindakan secara unilateral itu sekali gus telah menamatkan gencatan senjata yang dimulai sejak 19 Januari lalu dan dilihat akal membantutkan sebarang ru dengan fasa kedua dengan HAMAS. – HARAKAHDAILY 24/3/2025

- Advertisement -
- Advertisement -