‘Namakan negeri, Ahli Parlimen yang mendapat duit itu’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, menggesa pihak yang menyebarkan tuduhan menyebut dengan jelas negeri dan nama ahli parlimen yang didakwa menerima wang peruntukan projek tebatan banjir.

Beliau menegaskan bahawa tanpa menamakan dengan jelas, pihak yang menyebarkan kenyataan itu hanya berani berselindung di sebalik tuduhan rambang.

- Advertisement -

“Saya cadangkan tuan namakan negeri mana yang dimaksudkan dan ahli parlimen mana yang mendapat duit itu bagi memudahkan tindakan susulan.

“Tanpa menamakan dengan jelas, tuan hanya berani berselindung di sebalik tuduhan rambang,” katanya dalam satu kenyataan media sosial miliknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian berikutan penyebaran video yang dikatakan menampilkan kakitangan Pejabat Perdana Menteri, yang dipaparkan dalam sebuah podkas TikTok, baru-baru ini.

Kakitangan dalam video itu kononnya menerangkan bahawa ‘rumors’ Perdana Menteri Ke-10 (PMX) marah kerana wang tebatan banjir masuk ke dalam akaun kerajaan negeri dan diagihkan kepada ahli parlimen pembangkang yang tidak menerima sebarang peruntukan.

Ahmad Fadhli turut menyampaikan kekesalannya terhadap penyebaran fitnah tersebut melalui media sosial.

“Malangnya, fitnah ini disiarkan di akaun TikTok yang kelihatannya seolah-olah akaun rasmi Pusat Informasi Negeri Selangor. Bulan Ramadan ni banyak-banyaklah bertaubat.,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2025

- Advertisement -