
SUNGAI PETANI: Setiap kali Ramadan, sukarelawan kampung yang berkhidmat memberi tenaga kepada masyarakat tidak dilupakan kerana merekalah ‘hero tidak didendang’ namun sanggup berkorban tanpa mengira waktu dan masa.
Antaranya, guru fardhu ain dan Al-Quran kampung, penggali kubur, bidan kampung, tukang mandi jenazah, pengamal perubatan tradisional seperti bomoh patah, mudim, termasuk golongan muallaf dan seumpama tanpa mengira latar belakang fahaman politik.
Idea meraikan golongan ini dicetuskan oleh Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, ketika beliau menjadi Menteri Besar Kedah (2008-2013) dan majlis sumbangan pertama yang diadakan ialah pada Ramadan 2009.
Sehinggalah ke hari ini, warisan kebajikan diilhamkan oleh tokoh kepimpinan terbilang itu terus utuh dan berkembang dilaksanakan dalam rangka yang turut menyerlahkan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat di pelbagai peringkat.
Penyampaian sumbangan dan wang tunai itu lazimnya diadakan di masjid di daerah masing-masing, selain juga turut diadakan majlis berbuka puasa bersama mencerna ukhuwah, sekali gus mengimarahkan lagi bulan penuh berkah ini.
Kebiasaannya, di era pentadbiran Almarhum, beliau akan hadir ke setiap masjid yang menjadi tuan rumah kepada majlis penyampaian itu dan kini amalan itu disambung oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Kelmarin, program ini bermula dengan seramai 900 sukarelawan kampung menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Beliau menggantikan Menteri Besar yang perlu menghadiri majlis lain di mana program ini telah diadakan di Masjid Al-Imam An-Nawawi, Ambangan Height, di sini sebagai mewakili Daerah Kuala Muda.
Manakala penerimanya meliputi sukarelawan kampung daripada seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Gurun, Tanjung Dawai, Pantai Merdeka, Sidam dan Bakar Arang.
Dato’ Azam pada ucapannya berkata, penghargaan yang diusahakan itu masih tidak cukup berbanding dengan jasa besar disumbangkan oleh para sukarelawan kampung kepada masyarakat di tempat mereka selama ini.
Dalam masa sama, beliau mengharapkan akan ada pihak lain yang turut mengambil inisiatif bagi meraikan para sukarelawan masyarakat ini dari masa ke masa, sama ada di peringkat kampung, mukim atau sebagainya.
Program kebajikan seperti ini dilihat terus bersemarak sejajar dengan visi dan misi Negeri Kedah, ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ selain ungkapan yang sering dilaungkan, ‘Kedah tempat orang miskin berteduh dan untuk orang kaya berbakti’. – HARAKAHDAILY 7/3/2025




















