
KUALA KEDAH: Masalah yang dialami keluarga Hasrul Nizam Abu Hassan di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini telah mendapat perhatian segera Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari.
Sebaik sahaja Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) beliau menerima aduan kerosakan rumah keluarga tersebut, Mardhiyyah bersama Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Tebengau, Masyitah Bakar, turun ke lapangan bertemu keluarga tersebut.
“Rumah Hasnul ini memang rosak teruk. Dinding bertampal, bumbung bocor dan lain-lain. Memang tidak selesa kalau tidak diperbaiki segera,” kata Mardhiyyah.
Hasnul hanya bekerja sebagai nelayan dan tidak mempunyai pendapatan tetap, sementara isterinya Suziana Abu Seman hanya sebagai suri rumah dan tidak bekerja.
Justeru Mardhiyyah mengharapkan sumbangan baiki rumah yang disumbang beliau kepada keluarga itu sedikit sebanyak dapat membantu pemilik rumah, membaiki kerosakan berkenaan.
“Kalau mereka dapat baiki segera, bolehlah berhari raya dengan keadaan lebih selesa lagi,” tambah beliau turut menyampaikan sumbangan Beras Sejahtera dan barangan keperluan harian kepada keluarga tersebut.
Kebetulan katanya, Hasnul tiada di rumah kerana keluar bekerja, sumbangan baik rumah diserahkan kepada isteri beliau. – HARAKAHDAILY 7/3/2025











