
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah, menegaskan bahawa agama sejak zaman Nabi Adam AS hingga Nabi Muhammad SAW berpegang kepada satu asas utama, iaitu akidah tauhid, kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa.
Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu berkata, meskipun syariat yang dibawa oleh para nabi berbeza mengikut zaman dan keadaan, asas kepercayaan kepada Tuhan Yang Satu tetap menyatukan seluruh umat manusia.
“Allah telah menetapkan syariat tertentu bagi setiap umat yang berlainan, sesuai dengan keperluan dan cabaran kehidupan mereka,” katanya dalam media sosial miliknya hari ini.
Sebagai contoh, katanya, pada zaman Nabi Adam AS, tidak ada manusia lain selain baginda dan isterinya, Hawa, maka bagi memastikan kesinambungan keturunan manusia, syariat ketika itu membenarkan perkahwinan antara adik-beradik kembar secara bersilang.
“Namun, apabila populasi manusia bertambah, syariat berubah, dan hukum perkahwinan antara adik-beradik pun diharamkan. Begitulah perubahan syariat dari satu zaman ke zaman yang lain, hingga akhirnya ditutup dengan syariat Nabi Muhammad SAW, yang bersifat menyeluruh dan kekal hingga ke hari kiamat,” katanya.
Beliau berkata, dalam Islam, tauhid adalah asas yang tidak pernah berubah, berbeza dengan pandangan Barat yang beranggapan bahawa manusia asalnya menyembah pelbagai tuhan sebelum semakin bertamadun dan akhirnya menemui konsep Tuhan Yang Esa.
“Ini bertentangan dengan Islam. Hakikatnya, manusia bermula dengan tauhid. Nabi Adam telah membawa ajaran mengesakan Allah sejak awal penciptaan. Namun, akibat pengaruh nafsu dan godaan syaitan, manusia mula menyimpang dan mempercayai banyak tuhan,” ujarnya.
Beliau berkata, daripada penyimpangan itu muncul pelbagai fahaman sesat seperti politeisme yang menyembah banyak tuhan, dualisme seperti dalam kepercayaan Majusi, dan triniti seperti dalam Kristian dan Hindu.
Penyelewengan akidah itu, katanya, terus berlaku sepanjang zaman, termasuk pada zaman Nabi Muhammad SAW, apabila Makkah dipenuhi dengan patung berhala mengelilingi Kaabah yang mewakili pelbagai sembahan kaum Quraisy.
“Namun, Islam datang untuk membersihkan semua itu dan mengembalikan manusia kepada tauhid yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Nabi Muhammad SAW sudah tiada, tanggungjawab untuk menjaga agama ini kini dipikul oleh para ulama dan orang beriman.
“Ujian dan cabaran pasti datang, tetapi kita mesti tetap teguh berpegang kepada akidah tauhid, tidak terpengaruh dengan fahaman asing yang menyeleweng,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tauhid adalah warisan terbesar para nabi, dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mempertahankannya hingga akhir zaman. – HARAKAHDAILY 7/3/2025











