
KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), menegaskan bahawa pembangkang tidak menentang semua perkara yang dibawa oleh kerajaan, sebaliknya akan menyokong sebarang inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat dan negara.
“Tiada bangkangan sama sekali, jadi janganlah di sebelah sana (kerajaan) mengatakan kami tidak objektif konon-konon kami tidak mampu menilai yang mana satu intan yang mana satu kaca.
“Bila benda baik kita kata benda baik, benda yang betul, benda salah kita tegur,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap pindaan Rang Undang-Undang KWSP yang mewajibkan caruman dua peratus oleh pekerja asing.
Menurutnya, pindaan itu bukan sahaja menjamin kebajikan pekerja asing tetapi juga memberi manfaat besar kepada ekonomi negara dan keadilan sosial.
“Kita kena akur dan iktiraf 2.5 juta pekerja asing yang ada di Malaysia ini. Mereka juga adalah nation builder. Walaupun mereka datang daripada negara yang berbeza agama, kaum, tapi tangan-tangan dan kudrat mereka itulah yang membina negara kita,” katanya.
Menurutnya, langkah itu juga dapat mengurangkan eksploitasi pekerja asing yang sering menjadi isu di sektor pekerjaan.
“Jadi dengan adanya caruman yang diwajibkan ini, saya yakin ianya dapat sedikit sebanyak mengurangkan masalah-masalah sebegitu, sudah tentu antara manfaat lain ialah kita dapat mengukuhkan dana KWSP untuk kepentingan negara.
“Kita tahu aliran modal keluar yang cukup banyak, kalau mana pekerja asing ini dia ni berdikit dikit dan kalau kita ada caruman yang dia simpan dalam negara kita, sekurang-kurangnya modal itu boleh dialirkan dalam ekonomi tempatan kita sewaktu mereka bekerja di sini,” katanya.
Beliau berkata, simpanan KWSP bagi pekerja asing juga akan membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan.
Katanya, pada masa ini, jika berlaku kecemasan atau insiden melibatkan pekerja asing, kerajaan sering terpaksa menggunakan dana awam untuk memberi bantuan.
“Dengan adanya simpanan KWSP, pekerja asing mempunyai akses kepada simpanan mereka sendiri sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dana awam dan membolehkan kerajaan menyalurkan sumber kepada golongan yang lebih memerlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2025











