Orang Melayu perlu bangkit tentang RUU PSB

Ustaz Azhar Yahya menyampaikan ucapan di luar Masjid Ar-Rahman.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kampung Kerinchi yang kini hanya tinggal nama dan kini dikenali sebagai Bangsar South perlu menjadi pengajaran kepada orang Melayu, terutama di kawasan bandar untuk mempertahankan hak mereka.

Pesuruhjaya PAs Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya berkata, ancaman terkini kepada penduduk Melayu bandar ialah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang kini di peringkat penggubalan dan dijangka dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan.

- Advertisement -

Katanya, orang Melayu perlu bangkit membantah RUU PSB yang akan memberi kesan besar, tetapi halus terhadap pemilikan tanah orang Melayu di bandar

“Kampung Kerinchi kini hanya tinggal nama dan sekarang penghakisan tanah orang Melayu sedang berlaku di Kampung Sungai Baharu. Ini berlaku ketika RUU PSB belum ada.

“Pada zaman Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, terdapat syarat yang meletakkan persetujuan 100 peratus penduduk diperlukan untuk melakukan pembangunan. Jika tidak cukup, maka pembangunan tidak boleh dilakukan,” katanya di luar Masjid Ar-Rahman, Jalan Pantai Baharu di sini, hari ini.

Program `flash mob’ itu adalah anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam.

Suasana `flash mob’ anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) di luar Masjid Ar-Rahman.

Ustaz Azhar berkata, perubahan yang akan dilakukan dalam RUU PSB akan mengenepikan persetujuan itu dan ini adalah taktik licik kapitalis yang menindas orang Melayu.

“Keadaan yang berlaku di Kampung Sungai Baharu menampakkan pemaju macam baik, memberikan rumah dua atau tiga bilik, ada lif. Namun daripada sembilan ekar yang asalnya milik orang Melayu, hanya dua ekar yang tinggal milik mereka. Tujuh ekar lagi diambil oleh pemaju untuk pembangunan komersial,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu amat dikesali sedangkan ada peruntukan undang-undang bahawa tanah Malay Agricultural Settlement (MAS) tidak boleh diusik, apatah lagi untuk dimajukan dan dijual kepada bukan Melayu.

Sehubungan itu, katanya orang Melayu perlu bangkit menentang RUU PSB sebelum lebih banyak tanah orang Melayu hilang atas nama pembangunan.

Katanya, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah dimaklumkan mengenai isu itu dan akan membangkitkan perkara itu dalam perbahasan Parlimen supaya RUU PSB tidak diluluskan dengan sewenang-wenang. – HARAKAHDAILY 28/2/2025

- Advertisement -