
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memperuntukkan lebih RM12 juta sejak 2020 bagi melaksanakan program Wad Kelas Ketiga Percuma yang memberi manfaat kepada lebih 224,000 pesakit di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah,berkata program itu adalah inisiatif penting bagi memastikan akses kesihatan yang lebih baik untuk rakyat, terutama golongan kurang berkemampuan.
“Dalam tempoh lima tahun pelaksanaan, peruntukan lebih RM12 juta membolehkan seramai 224,000 pesakit menerima rawatan tanpa membebankan kewangan mereka,” katanya di Wisma Darul Iman di sini.
Beliau menegaskan bahawa program itu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, tetapi mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat.
“Ia bukan hanya berkaitan angka atau jumlah peruntukan, tetapi bagaimana inisiatif ini membantu meringankan beban rakyat dan memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya,” katanya.
Wan Sukairi berkata, kejayaan program itu turut didorong oleh usaha kerajaan mendapatkan sumber pembiayaan tambahan, iaitu selain dana kerajaan negeri, turut menerima sokongan sektor korporat, termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
“Kami tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan, tetapi mendapat sokongan pelbagai pihak untuk memastikan kesinambungan program ini demi manfaat rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2025




















