
SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Dato’ Ng Suee Lim diingatkan untuk tidak menyalahgunakan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah demi kepentingan peribadi.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Ustaz Mohd Razali Saari mempersoalkan tindakan Suee Lim memetik sebahagian yang didakwanya titah Sultan Selangor di dalam suratnya mengenai permohonan pertukaran status 84 ekar tanah di Sekinchan.
“Saya bangkitkan berkenaan adakah wujud atau tidak titah Sultan Selangor yang dimuatkan di dalam surat Yang Berhormat Sekinchan (Suee Lim). Saya mahu bersihkan nama Istana (Selangor) supaya tidak suka-suka dimain macam itu. Kalau benda ada, tunjukkan, kalau tiada, jangan diada-adakan.
“Kalau ada, titah tuanku akan keluar panjang, dalam surat ini hanya kata, ini titah Tuanku untuk kekalkan kehijauan padi dan kelestarian Sekinchan sebagai tarikan pelancong dengan sawah terbentang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini hari ini.
Jelas beliau, Suee Lim masih gagal menjawab keberadaan teks asal titah Diraja itu, seperti mana yang dipetik di dalam suratnya kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam bertarikh 30 Mei 2024.
“Hasil semakan dengan Majlis Daerah Sabak Bernam mendapati Sultan Selangor tidak pernah bertitah ketika Seri Paduka Baginda dan Permaisuri berkenan mencemar duli ke Sekinchan pada 22 Mei 2017.
“Saya tanya, semasa Tuanku mencemar duli 22 Mei 2017, ada atau tidak ada Tuanku bertitah? Bila saya buka laman rasmi Majlis Daerah Sabak Bernam, dalam tentatif itu tidak ada pun menyebut Duli Yang Maha Mulia ini bertitah, ia hanya lawatan.
“Namun dalam dua surat yang dikeluarkan Yang Berhormat Sekinchan (6 Mac 2023 dan 30 Mei 2024) dan beliau sebut itu adalah titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” ujarnya.
Razali ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 24 Februari lalu membangkitkan persoalan berkenaan wujud atau tidak titah Sultan Selangor seperti yang dimuatkan di dalam surat Suee Lim.
Suee Lim dalam reaksinya enggan memberikan jawapan dengan mendakwa isu berkenaan tidak dibangkitkan Sultan Selangor di dalam titah ucapannya ketika Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke-15 baru-baru ini.
“Saya tak nak jawab soalan inilah. Tak nak panjang sebab masa takde. Sungai Panjang ni baru belajar nak tunjuk hero di dalam dewan yang mulia ini. Saya minta petua Speaker ada ke perlu saya jawab soalan ini yang tidak ada dalam titah ucapan,” katanya mengelak. – HARAKAHDAILY 26/2/2025













