
DALAM Islam, untuk menafsirkan ayat-ayat al-Quran seseorang itu memerlukan berbagai cabang ilmu yang tinggi, lughah, nahu, balaghah, sorof, hadis, usuluddin, asbabul nuzul, feqah, nasikh dan mansukh sebelum boleh menjadi pentafsir.
Bukan jika hanya boleh berbahasa Arab ana, anta, cakap Arab depan kamera dengan orang Arab atau pandai tulis jawi ataupun bersahabat baik dengan Yusuf al-Qaradhawi, menggunakan perkataan-perkataan Islamik mahupun jika ada penyokongnya mengangkat sebagai Imam Mahadi atau Nabi Yusof dan juga bukan kerana seseorang itu bekas banduan.
Jika tidak, al-Quran itu akan menjadi bahan mainan sahaja oleh para juhalak yang bodoh dan jahat. Hilang kemuliaannya, sedangkan ia kalam Allah yang diturunkan menjadi mukjizat kepada Rasulullah SAW, yang mana akan menjadi salah satu soalan kepada semua manusia di dalam kubur nanti.
Inilah disiplin oleh Islam yang menekankan perlunya ilmu yang tinggi supaya al-Quran tidak boleh dipermainkan oleh sesiapa. Mungkin juga orang kafir akan turut mempersendakan isi kandungan kitab suci ini jika disiplin ini tidak dijaga oleh para ulamak.
Ingatkah kita dengan ayat al-Quran yang selalu disalah tafsirkan oleh kumpulan yang mahu bebas dari peraturan Islam? Ayat yang berbunyi “Tiada paksaan dalam beragama”? Ayat ini digunakan secara salah oleh para wanita terutamanya yang tidak mahu bertudung yang tiada paksaan dalam Islam, ikut suka kita nak buat apa. Jadi tidak perlu tegur kalau tidak bertudung. Sedangkan bukan itu maksudnya.
Kumpulan yang suka menafsirkan ayat-ayat al-Quran ini pada kebiasaannya ialah golongan liberal. Mereka membebaskan diri mereka daripada tafsiran yang muktabar oleh ulamak terdahulu yang telah diiktiraf dunia, semata-mata mahu dilihat tidak kolot atau kononya mahu memikat bukan Islam dengan menyamakan Islam dengan agama lain.
Jadi, untuk menafsirkan al-Quran kita wajib memenuhi kehendak utama dalam ilmu penafsiran supaya kita tidak menafsir menurut kehendak nafsu dan kejahilan kita. Akan tetapi untuk membalas semula tafsiran salah oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX) ini, amatlah mudah kerana kita tahu ia salah dan terpesong.
Apabila disebut umat terdahulu yang menerima agama Allah, pastinya mereka semua Islam sama ada agama Yahudi, Nasrani yang diturunkan rasul dan nabi menerusi kitab yang ada tertulis peraturan dari Allah yang mana kitab suci ketika itu belum dicemari ubahan oleh tangan-tangan jahat pendeta mereka, maka kitab Injil, Taurat dan Zabur wajib dipatuhi.
Puasa Nabi Daud dipuji oleh Rasulullah SAW sebagai puasa terbaik. Jadi perkataan ‘sebagaimana yang diwajibkan ke atas umat sebelum kamu’ itu merujuk kepada umat para nabi dan rasul terdahulu yang mana mereka semua Islam kerana mengikut agama dan perintah pada zaman itu. Jadi, mana datangnya orang kafir diwajibkan oleh Allah untuk berpuasa?
Dan lebih bahaya lagi dengan mengatakan kaum terdahulu yang diwajibkan Allah untuk berpuasa itu sebagai golongan kafir, maka ia secara tidak langsung telah mengkafirkan orang Islam. Bukankah itu satu kejahatan kerana tiada bukti mereka itu kafir?
Aku sarankan untuk PMX hadir ke majlis ilmu di Masjid Rusila pada setiap pagi Jumaat mendengar kuliah tafsir al-Quran, hadis dan juga sejarah yang disampaikan oleh Tun Guru Presiden PAS. InsyaAllah tidak akan menjadi sesat fahaman PMX.
Sila baca petikan Irsyad Fatwa oleh Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkenaan menafsirkan al-Quran tanpa ilmu. Jika tafsirnya betul, dia tidak dapat pahala, jika tafsirnya salah, pastinya berdosa. Golongan ini dinamakan tafsir Bil Ra’yi.
MOHD NASIR ABDULLAH
26 Februari 2025 – HARAKAHDAILY 26/2/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.













