
KOTA BHARU: Tahap kesedaran rakyat negeri ini dalam mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) masih rendah, kata Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaacob.
Menurut beliau, pihaknya menyasarkan 5,000 individu menyertai SKSSR pada tahun lepas, namun sasaran yang dicapai hanya 3,000 pencarum atau 60 peratus sahaja.
Katanya, ini menunjukkan kesedaran masyarakat masih rendah walaupun skim yang diperkenalkan pada 2022 itu menawarkan pelbagai faedah sekiranya pencarum ditimpa keuzuran, kemalangan serta kematian.
“Perkara ini boleh dianggap satu kerugian sekiranya tidak merebut peluang untuk mencarum menerusi skim ini kerana banyak kelebihan bagi melindungi golongan wanita dengan kadar bayaran RM120 setahun,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan kotak PERKESO Prihatin dan bayaran faedah SKSSR kepada Ahmad Zikri Ariffin, 38, di Jalan Bayam, di sini semalam.
Nora berkata, wanita berumur 54 tahun ke bawah layak mencarum SKSSR termasuk yang bekerja dengan faedah bakal diperoleh seperti perubatan, hilang upaya kekal danelaun keuzuran.
Juga kemudahan jasmani dan dialisis serta faedah pengurusan jenazah dan pencen penakat sekiranya berlaku kematian.
“Jadi kita menyerulah pada suri rumah supaya tidak melepaskan peluang ini,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zikri ketika ditemui mengakui terkejut apabila menerima faedah daripada SKSSR selepas isterinya Allahyarhamah Wan Mastura Hassan, 33, mula mencarum pada 2023 tanpa pengetahuannya.
Katanya, beliau terkejut apabila dihubungi SKSSR berhubung faedah yang bakal diperolehi selepas kematian isterinya.
“Arwah isteri meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas demam berpanjangan Nov 2024.
“Saya akan terima faedah ini sehingga saya mencapai umur 55 tahun mahupun sehingga ketiga-tiga anak saya yang berumur lapan hingga 13 tahun mencapai umur 21 tahun,” ujarnya.
Beliau mengakui sumbangan diperolehi setiap bulan itu dapat membantunya dan anak-anak untuk perbelanjaan persekolahan, susu dan lampin pakai buang untuk anak bongsunya yang berusia lapan bulan.
“Saya ucap terima kasih kepada PERKESO di atas penyampaian berkenaan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 26/2/2025











