
KOTA BHARU: Sebanyak 10 sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dipilih bagi menerapkan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, ia merupakan projek perintis sebelum diperluaskan sekolah lain.
Beliau berkata, DPRK bukan sahaja menekankan pendidikan jasmani, malah memberi perhatian terhadap rohani dan akhlak bagi melahirkan modal insan seimbang fizikal, mental dan spiritual.
“Kurikulum bersepadu yang diperkenalkan menerusi DPRK akan memastikan pelajar mendapat kefahaman Islam yang jelas, di samping menguasai bidang sains, teknologi, digital, dan inovasi.
“Selain itu, tenaga pengajar juga akan diberikan latihan yang khusus bagi meningkatkan lagi kualiti dan keberkesanan dalam proses pembelajaran dan pengajaran dalam kelas,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pelancaran Pelaksanaan DPRK di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan di Bandar Baharu Tunjong di sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Zulkifle Ab Rahman dan Pemangku Pengarah Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Ustaz Borhanuddin Ahmad.
“Kini DPRK dilaksanakan secara rasmi membabitkan 10 sekolah perintis setelah dasar terbabit dilancarkan oleh kerajaan negeri hampir lapan tahun lalu,” katanya yang juga ADUN Pengkalan Kubor.
Pada majlis itu Wan Roslan turut menyampaikan saguhati berjumlah RM1,000 kepada 10 sekolah yang terpilih melaksanakan DPRK sebagai model awal sebelum diperluaskan sekolah lain.
Menurutnya DPRK dapat menjadikan Kelantan sebagai peneraju dalam sistem pendidikan Islam yang progresif serta melahirkan pelajar beriman, berilmu, dan berdaya saing dalam dunia hari ini.
Antara sekolah perintis seperti Maahad Muhammadi Lelaki, Maahad Muhammadi Perempuan, Maahad Muhammadi Tumpat, Maahad Syamsul Maarif Perempuan Machang dan Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah.
Selain itu Maahad Pengajian Islam Kota Bharu, SMU (A) Al-Ittihadiah Ketereh, Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor, SMU (A) Tarbiah Islamiah Chabang Empat dan SMU (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang di Tumpat. HARAKAHDAILY 26/2/2025




















