Jangka tarik 400,000 pengunjung, sasar ROI RM3 juta

Pesta Angin Timur (PAT) 2025

- Advertisement -

KANGAR: Pesta Angin Timur (PAT) 2025 akan berlangsung pada 21 hingga 23 Februari di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, Arau, dengan pelbagai pengisian baharu yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, edisi kali ini menyaksikan pertambahan penyertaan memberangsangkan, termasuk 225 gerai perniagaan, 64 pameran agensi, serta beberapa acara baharu seperti persembahan wayang kulit, ghazal pati, dan pertandingan wau antarabangsa.

“PAT 2024 mencatat kehadiran 360,000 pengunjung, dan tahun ini kita menyasarkan 400,000 orang. Kita kekalkan malam kerohanian sebagai satu tarikan utama yang mampu menarik pengunjung pelbagai latar belakang,” katanya.

Antara pengisian baharu ialah pertandingan wau tradisional dan moden peringkat antarabangsa, arca jerami dengan penyertaan dari Selangor, Kedah, dan luar Perlis.

Serta pertandingan Mat Challenge yang kini menerima lebih 160 penyertaan, termasuk peserta dari Afrika, Australia, Thailand, dan Indonesia.

Selain itu, pertandingan bola tampar bendang dan bola jaring bendang turut ditambah baik, termasuk persembahan bunga api.

“PAT bukan sahaja acara kebudayaan, tetapi platform perpaduan masyarakat pelbagai kaum. Kita juga menampilkan segmen khas seperti audio car yang menarik minat golongan muda dari seluruh Malaysia,” tambahnya.

Pesta ini terus menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang ketara, dengan pulangan pelaburan (ROI) meningkat dari RM1.5 juta pada 2023 kepada RM2.8 juta pada 2024.

“Tahun ini, sasaran ROI ialah RM3 juta sepanjang tiga hari penganjuran,” ujarnya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini semalam.

Dari aspek kawalan harga, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau harga jualan oleh para peniaga, dengan kadar sewa gerai khemah biasa ditetapkan pada RM950 bagi lima hari, meningkat RM50 berbanding tahun lalu.

PAT 2025 dijangka menjadi edisi paling meriah, mengukuhkan Perlis sebagai destinasi pelancongan budaya utama di Malaysia.

Terdahulu, Mohd Shukri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pesta Angin Timur Perlis di Bilik Gerakan 1, Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Malaysia, Mohd Amran Mohd Haris. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

- Advertisement -