
KOTA BHARU: Memandangkan hanya tinggal seorang adi guru sahaja yang masih aktif dalam sulaman kelingkan di Kelantan, Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KEKWA), telah mengambil inisiatif dalam memperkenalkan sulaman berkenaan kepada masyarakat.
Taklimat berkenaan turut mendapat kerjasama kerjasama Majlis Kraf Malaysia (MCC) dan Yayasan Hasanah, yang diadakan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.
Taklimat yang diadakan itu bertujuan memberi pendedahan mendalam kepada peserta mengenai seni sulaman kelingkan dan tenunan songket, warisan halus yang semakin terhapus.
Pengarah U-KeKWa, Ilvira Mohd Dasuki memberitahu, Kelantan kini hanya mempunyai seorang sahaja guru sulaman kelingkan, iaitu Nik Marhamah Nik Megat, yang diiktiraf sebagai Master Artisan dalam bidang tersebut.
“Nik Marhamah adalah satu-satunya adi guru sulaman kelingkan di negeri ini. Beliau sering diundang ke seluruh negara untuk berkongsi kepakaran.
“Ini peluang berharga buat peserta untuk belajar daripada beliau sebelum warisan ini lenyap ditelan zaman,” ujarnya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.
Menurutnya, selendang kelingkan diperbuat daripada benang logam pipih bersadur emas, perak, dan tembaga, menjadikan hasil seninya bernilai tinggi serta eksklusif.
Menurutnya, proses pembuatannya yang rumit memerlukan kemahiran tinggi, menjadikan kelingkan bukan sekadar aksesori, tetapi simbol status dan warisan budaya masyarakat Melayu.
Tambahnya, program tersebut akan memperkenalkan kelingkan kepada peserta dan menambah ilmu serta memupuk minat mendalam dalam kalangan generasi baharu.
“Peserta yang hadir hari ini terdiri daripada pakar jahitan dan sulaman. Program ini memberi ruang untuk mereka mendalami seni kelingkan, seterusnya melestarikan tradisi warisan ini yang sarat nilai sejarah dan budaya,” katanya.
Seramai 20 peserta diperlukan untuk menyertai kursus seni sulaman kelingkan tahun ini, yang dijadualkan berlangsung selama tiga bulan di Pusat Latihan OKU, Wanita dan Armalah, Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu.
Peserta yang terpilih akan menerima elaun sepanjang kursus dan dianugerahkan sijil selepas tamat latihan.
“Kami harap lebih ramai peserta hari ini berminat menyertai kursus ini bagi memastikan seni kelingkan terus subur dalam kalangan generasi muda,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar guru-guru jahitan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) dan alumni PPWK yang hadir menjadi duta kecil bagi mempromosikan program berkenaan kepada masyarakat.
Turut hadir dalam taklimat tersebut, Penolong Pengarah Kanan Unit Kemahiran U-KEKWA, Bazilah Kamarudin; Presiden Majlis Kraf Malaysia, Nik Faiz Nik Amin dan Master Artisan Kelingkan Kelantan Nik Marhamah Nik Megat.
Jugq Pegawai Bengkel Songket Penjara Kelantan, Sarjan Mejar Mohd Saufi Ali dan Pengarah Projek The Textile Project, Ariza Mohd Yusuf. – HARAKAHDAILY 5/2/2025




















