Rakyat akan kena tempias tarif elektrik industri naik

- Advertisement -

MACHANG: Meskipun pengumuman kenaikan tarif elektrik hanya membabitkan pemain industri, namun kerajaan perlu memberi jaminan supaya langkah tersebut tidak menjejaskan kehidupan rakyat ketika ini.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong, Ustaz Azhar Salleh berkata, rakyat dijangka menanggung kos sara hidup yang lebih tinggi sekiranya keputusan tersebut dilaksanakan kelak.

“Katanya ia membabitkan industri sahaja, tetapi sedikit sebanyak, tempias dia tu kena juga kepada rakyat di kampung-kampung, harga-harga barang akan terus meningkat dan ini membeban rakyat.

“Serupa kita kata kenaikan harga diesel, disebabkan benda-benda kos penghantaran barang, pengangkutan dan sebagainya jadi mahal, jadi tempiasnya akan turut terkena juga kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Beg Sekolah Percuma 2025 kepada 70 penerima di PASTI Ar Rahman Kampung Bandar Pulai Chondong, di sini pagi tadi.

Turut hadir Setiausaha Persatuan Kampung Bandar Tercinta, Ahmad Amry Mukhsynin Zaki dan Penghulu Mukim Bandar merangkap Timbalan Pengerusi Persatuan Kampung Bandar Tercinta, Mohd Pauni Abu Bakar.

Program anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kampung Bandar Tercinta itu membabitkan tiga buah kampung dalam mukim Bandar, iaitu Kampung Bandar, Kampung Laha dan Kampung Kerawang.

Dalam pada itu Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Machang itu menyambut baik usaha dilaksanakan NGO tersebut bagi meringankan beban keluarga dikenal pasti dalam kalangan asnaf dan orang miskin.

Menurutnya inisiatif yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu menerusikan sumbangan orang ramai yang mahu membantu penduduk tempatan yang memerlukan bantuan persekolahan 17 Februari depan.

“Dia buat majlis penyampaian beg sekolah ini untuk membantu sedikit sebanyak penduduk dalam Mukim Bandar yang susah walaupun sumbangan hanya sebuah beg, tetapi penerima itu dia gembira.

“Maknanya boleh bantu sedikit sebanyak, sekurang-kurang beg sekolah tidak perlu beli, kita serahkan kepada penduduk orang susah dari tiga buah kampung, Bandar, Laha dan Kerawang,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2025

- Advertisement -