Bangunkan Tasik Kenyir walau tanpa sokongan KETENGAH

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu tetap bertekad membangunkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama meskipun tanpa kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, sikap KETENGAH yang enggan berbincang dan menjalin kerjasama telah menghalang perkembangan penuh potensi Tasik Kenyir.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan rasmi untuk mengadakan perbincangan serta kunjungan hormat, namun masih belum menerima sebarang maklum balas. 

“Walaupun berdepan cabaran, kerajaan negeri tetap komited melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan di Tasik Kenyir bagi menarik lebih ramai pelancong serta merancakkan ekonomi setempat.

“Antara inisiatif utama yang sedang berjalan ialah pembinaan sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Pulau Poh yang dijangka siap pada pertengahan 2025.

“Hotel ini diharap dapat menyediakan penginapan selesa dan menarik lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut,” katanya yang juga Ketua Penerangan Bersatu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perbincangan Terengganu International Paramotor Challenge 2025 oleh Pronto Prima bertempat di Primula Beach Hotel, semalam.

Selain itu menurut beliau, kerajaan negeri turut melaksanakan projek pembesaran Kenyir Waterpark untuk menambah tarikan taman tema air tersebut.

Tambahnya, inisiatif Kenyir Island Hopping juga diperkenalkan, termasuk pembinaan jambatan ikonik yang menghubungkan beberapa pulau utama di Tasik Kenyir, bagi memudahkan akses pelancong ke lokasi menarik sekitar tasik. 

Beliau berkata, dalam aspek pemuliharaan, kerajaan negeri memberi perhatian khusus kepada langkah-langkah konservasi selepas pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Geopark.

“Ini bagi memastikan kelestarian flora dan fauna di kawasan tersebut terus terjaga untuk generasi akan datang,” ujar Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal.

Tambahnya, bagi memperkukuh kedudukan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama, kerajaan negeri juga akan memperhebatkan promosi melalui pelbagai saluran, termasuk platform digital serta penganjuran acara khas. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

- Advertisement -