
ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria sudah mengadakan lawatan kerja hampir ke semua hospital di negeri ini kecuali Hospital Yan dan Sik.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada tugas beliau sebagai Exco Kesihatan Negeri ini dan akan diselesaikan yang masih belum dilawati selewat-lewatnya, akhir bulan ini.
“Alhamdulillah, sepanjang lawatan saya ke hospital ini, saya mendapat penerimaan yang baik dari mereka. Saya diberi taklimat pengoperasian, masalah dan kaedah menanganinya.
“Juga turut dibincangkan bersama terutama melibatkan penambahbaikan fasiliti di hospital,” jelasnya berhubung lawatan yang disertai bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Ismuni Bohari.
Lawatan dilakukan tersebut ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil itu, memudahkan pihaknya mendapatkan maklumat terkini terutama berkaitan pengoperasian hospital di negeri ini.
“Walaupun, hospital ini berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun perkhidmatannya untuk rakyat, tidak kira di bandar mahupun kampung-kampung.
“Malah kehadiran wakil kerajaan negeri pada lawatan seperti ini, sedikit sebanyak dapat memberi motivasi dan pandangan untuk penambahbaikan selain mengeratkan siratulrahim,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Mansor dimaklumkan, peruntukan untuk membina blok tambahan di Hospital Kulim telah diluluskan.
Dengan adanya blok atau bangunan tambahan maklumnya, masalah kepadatan di hospital itu dapat diatasi serta memberi ruang yang lebih banyak kepada para pesakit.
“Perbincangan ini tidak hanya berkenaan pengoperasian serta masalah di hospital sahaja, tetapi kita juga memberi tumpuan kepada penambahbaikan klinik kesihatan serta peranan di setiap Pusat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing,” katanya lagi.
Sementara pihaknya berharap, hospital kecil seperti di Kuala Nerang, Sik dan Jitra, juga diadakan khidmat doktor pakar bagi membantu melancarkan perkhidmatan kesihatan di hospital tersebut.
Kesempatan itu juga, beliau mengadakan lawatan ke wad kanak-kanak di setiap hospital yang dilawati serta memberi sumbangan. – HARAKAHDAILY 4/2/2025












