Persoal kedudukan Melayu-Islam: Rasmi dari Gerakan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) perlu menyatakan pendirian rasmi susulan kenyataan Timbalan Presidennya, Oh Teong Keong yang mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu-Islam di negara ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, ini kerana ia bukanlah kali pertama Teong menyatakan sikap sedemikian.

“Gerakan perlu menyatakan sikap secara rasmi adakah kenyataan Oh Tong Keong, Timbalan Presiden Gerakan yang mempersoal kedudukan istimewa orang Melayu-Islam adalah ‘restu’ daripada Gerakan?

“Bukan kali pertama makhluk ini menyatakan sikap sebegini, dan saya mengecam keras kenyataan yang sangat biadab daripada manusia seperti ini yang begitu terdesak mahu mendapat sokongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pihaknya sama sekali tidak akan berdiam diri terhadap isu berkenaan, walaupun Gerakan adalah sebahagian daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Gerakan daripada PN? Jadi? Adakah ia lesen untuk manusia ini bercakap dan menyentuh soal dan isu Melayu Islam? Jika tiada kenyataan rasmi daripada Gerakan terhadap isu ini, percayalah kami semua tidak akan berdiam diri,” tegasnya.

Tong Keong baru-baru ini mengkritik DAP yang dikatakan berdiam diri selepas menjadi kerajaan dengan tidak menentang dasar Islam negara.

Beliau juga sebelum ini pernah mengugut untuk partinya keluar daripada gabungan PN jika terpaksa tunduk terhadap tuntutan konservatif dan tidak munasabah daripada pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

- Advertisement -