‘Indahnya Kelantan 2025’ promosi pelancongan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelancaran ‘Indahnya Kelantan 2025’ bukan sekadar promosi mahupun kempen biasa, sebaliknya ia merupakan wadah strategik bagi memperkukuhkan lagi Kelantan sebagai destinasi pelancongan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, tema tersebut dirangka bagi meneruskan lagi momentum kejayaan yang dicapai dalam kempen Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024).

Bagi tujuan tersebut, pihaknya melalui Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) berganding bahu bersama pemain industri pelancongan di Kelantan untuk bergerak seiring dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut.

“Kita bersama TIC dan pengusaha pelancongan di negeri ini berusaha mencapai hasrat kerajaan negeri untuk mempromosikan ‘Indahnya Kelantan 2025’ dengan merangka strategi pelancongan yang lestari.

“Antaranya ialah memperkenalkan pakej-pakej pelancongan yang menonjolkan keindahan alam semula jadi, tradisi, budaya dan seni tempatan yang dapat menarik kedatangan pelancong ke Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran ‘Indahnya Kelantan 2025’, di pekarangan Pasaraya Mydin, Bandar Baru Tunjong, di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah dan Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Idham Abdul Ghani.

Kerajaan negeri melalui TIC merangka hampir 70 aktiviti sepanjang 2025 bagi merancakkan lagi sektor pelancongan seperti pameran kebudayaan, festival makanan tradisional dan sebagainya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, usaha tersebut dijangka menjana lebih banyak manfaat kepada rakyat khususnya golongan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Selain keunikan kebudayaan dan kesenian, Kelantan juga mempunyai lokasi dan keindahan alam semula jadi yang belum diusik seperti Lata Turbo, Lata Hokaido, Bukit Salor, Lata Janggut dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 2/2/2025

- Advertisement -