‘See you in court’ – Takiyuddin jawab PAN nak saman PAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS menyambut hasrat Parti Amanah Negara (PAN) bagi mengambil tindakan perundangan termasuk menyaman salah seorang pemimpin tertinggi parti itu.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua pihak mempunyai hak mengemukakan tindakan terbabit kerana ia dibenarkan di sisi undang-undang negara.

Malah beliau menyifatkan saman parti komponen kerajaan itu terhadap Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bukan satu masalah yang sangat besar.

“Dia nak saman Sanusi, itu hak dia, mahkamah terbuka, siapa nak saman, siapa nak kena saman, boleh, tetapi kadang-kadang banyak juga kes mahkamah kalah dan menang.

“Kita tak ada masalah, dia saman kita lawan, jangan anggap dia saja boleh saman, kita pun boleh, bukan perkara besar kalau dia nak saman, samanlah, ‘see you in court’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Perjanjian Sewa antara Sekolah Rendah Integrasi Islam (SRITI) Al Fateh dan Yayasan Nik Yahya semalam.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah itu sekali lagi mengungkit kenyataan parti serpihan PAS itu yang ditubuhkan pada 2015 sebagai strategi jangka panjang DAP untuk melemahkan gerakan PAS.

Beliau mengimbau penubuhan tersebut ketika menyampaikan ucapan pada Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar pada Jumaat lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengulangi kekuatan PAN hanya dibayangi selain menumpang kekuatan DAP selain logo parti diambil dari bentuk sedia ada dari luar negara. – HARAKAHDAILY 2/2/2025

- Advertisement -