Pelantikan Ahmad al-Sharaa stabilkan Syria

Presiden Transisi Syria, Ahmad al-Sharaa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyokong penuh pelantikan Ahmad al-Sharaa sebagai Presiden Transisi Syria, yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah kestabilan dan keamanan di negara yang telah lama bergolak itu.

PUM turut mengucapkan tahniah terhadap pelantikan al-Sharaa dan menegaskan bahawa beliau merupakan pilihan yang tepat untuk memimpin proses transisi di Syria.

- Advertisement -

Yang di-Pertua PUM, Dato’ Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz berkata, PUM melihat pengalaman dan kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin kumpulan pembebasan yang berjuang menentang rejim Bashar al-Assad sebagai aset penting dalam usaha membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan stabil.

Katanya, pelantikan itu adalah satu langkah besar bagi memastikan Syria dapat keluar dari konflik yang telah meragut banyak nyawa dan memusnahkan negara itu.

“Al-Sharaa dan pasukan yang diketuainya, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), membuktikan keberanian mereka dalam menentang kezaliman rejim terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Wan Mohamad berkata, PUM turut menyambut baik kenyataan awal al-Sharaa yang menekankan kepentingan perpaduan rakyat Syria serta penolakan terhadap penglibatan total rejim terdahulu dalam institusi negara.

Menurutnya, komitmen ini menunjukkan kesungguhan beliau dalam membawa perubahan positif dan membina sebuah Syria yang lebih baik untuk semua rakyatnya.

Sehubungan itu, katanya PUM meminta semua pihak di Syria, termasuk fraksi-fraksi pejuang yang sebelum ini dibubarkan, agar bersatu di bawah kepimpinan al-Sharaa dan bekerjasama dalam memastikan kejayaan proses transisi ini kerana perpaduan adalah elemen utama bagi mencapai kestabilan jangka panjang di Syria.

Selain itu, katanya PUM menggesa masyarakat antarabangsa mengiktiraf kerajaan transisi ini dan memberikan sokongan penuh kepada al-Sharaa.

“PUM berharap agar kerajaan Malaysia turut mengambil langkah proaktif dalam memberikan pengiktirafan serta bantuan kemanusiaan dan diplomatik kepada Syria.

“Bantuan dalam bentuk kemanusiaan, pembangunan semula, serta usaha-usaha diplomatik adalah amat diperlukan bagi membantu Syria keluar daripada krisis ini. PUM berharap agar pelantikan Ahmad al-Sharaa sebagai Presiden Transisi akan mempercepatkan proses kestabilan dan pembangunan semula negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/1/2025

- Advertisement -