
SEPANG: Seramai 30 jemaah umrah termasuk mutawif yang terkandas akibat penipuan sebuah agensi pelancongan, baru-baru ini, berlepas ke tanah suci awal pagi ini dengan mengambil pakej khas Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel).
Kumpulan itu yang merupakan sebahagian daripada 150 jemaah yang terkandas akibat penipuan itu, berlepas kira-kira jam 2.15 pagi.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Dato’ Md Daud Che’ Ngah, berkata pihaknya terpanggil untuk membantu jemaah berkenaan kerana bersimpati dengan nasib mereka yang telah lama merancang menunaikan ibadah bersama keluarga mereka.
“Andalusia Travel berbesar hati dan terpanggil untuk membantu jemaah umrah ini kerana bersimpati dan berasa sedih dengan apa yang terjadi kepada bakal-bakal tetamu Allah yang telah lama merancang untuk menunaikan umrah bersama keluarga mereka.
“Kami juga amat terkesan dengan perkara ini dan kami tidak mahu mereka rasa kecewa berdepan dengan pandangan ahli keluarga dan orang sekeliling apabila tidak dapat menunaikan umrah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghantar jemaah berkenaan yang juga kumpulan pertama bagi pakej khas di Balai Pelepasan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) di sini, malam tadi.
Md Daud berkata, Andalusia Travel menawarkan harga khas bermula RM6,215 seorang, iaitu kira-kira 30 peratus diskaun berbanding harga asal, RM7,980 dengan tarikh penerbangan pada Januari, Februari dan April.
“Ada kalangan jemaah yang terkandas juga mendapat tawaran harga serendah RM5,200 seorang yang sepatutnya terbang pada 14 Januari sahaja.

“Mengikut harga asal, tiada pakej dapat ditawarkan kurang daripada RM6,000 tetapi kami tawarkan harga khas ini kepada mereka yang benar-benar dalam kesulitan sama seperti kami pernah membantu golongan asnaf.
“Pakej ini termasuk perjalanan selama 13 hari dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan masuk ke Makkah, malah semua jemaah juga akan diberikan pakej percutian di Taif seperti mereka yang menunaikan umrah bersama Andalusia,” katanya.
Sementara itu, beliau melahirkan perasaan hairan kerana kes penipuan membabitkan jemaah umrah masih berlaku, sedangkan ia membabitkan soal ibadah serta agama.
“Saya pernah mencadangkan supaya Jabatan Agama Islam Negeri mengadakan khutbah Jumaat sekurang-kurangnya dua ke tiga kali setahun mengenai penipuan haji dan umrah.
“Ini bagi memberi maklumat serta kesedaran kepada orang ramai supaya memilih agensi pelancongan yang mempunyai lesen dan latar belakang kukuh bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke tanah suci pada 14 Januari lalu, namun ditunda syarikat pengendali umrah.
Seorang mangsa jemaah yang mahu dikenali Ida, berkata alasan yang diberikan adalah hotel penginapan dibatalkan oleh pihak Arab Saudi, namun terbongkar bahawa tiada tempahan tiket penerbangan, manakala status visa dan hotel penginapan tidak dapat dipastikan.
“Saya kecewa kerana ini adalah umrah pertama kami sekeluarga, akhirnya jadi begini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/1/2025




















